KANGAR - Seorang warga emas terpaksa mengupah kanak-kanak bagi memimpin tangannya untuk menaiki tangga ke rumahnya yang terletak di tingkat 11 di Flat Pangsapuri Seri Sena kerana lif rosak sejak beberapa bulan lalu.
Ng See Som, 78, yang merupakan bekas guru tinggal seorang diri terpaksa berbuat demikian bagi memastikan keselamatannya terjamin.
Katanya, sebanyak RM3 diberikan kepada kanak-kanak berkenaan setiap kali dia menggunakan khidmat bantuan tersebut.
"Keadaan usia saya yang sebegini menghalang saya untuk menggunakan tangga seorang diri kerana sangat bahaya.
"Saya berharap pihak berkuasa menyelesaikan masalah ini secepat mungkin bagi memastikan perkara tidak diingini berlaku," katanya ketika ditemui di bangunan flat berkenaan semalam.
Seorang lagi penduduk, Parawi Boon, 28 berkata, dia terpaksa menggunakan tangga lebih daripada empat kali pada setiap hari.
"Pagi-pagi lagi saya perlu gunakan tangga untuk hantar anak-anak ke sekolah dan perlu ke kedai membeli keperluan dapur dan pada waktu petang perlu menjemput anak-anak dari sekolah.
"Keadaan ini sangat memberi tekanan kepada kami kerana ia berlaku untuk tempoh yang terlalu lama," katanya
Parawi berkata, sebelum ini lif pernah rosak tetapi tidak terlalu seperti kali ini.
"Selalu kalau rosak pun paling lama dalam tiga hari dan boleh menggunakan lif lain namun pada kali ini kesemua lif yang terdapat di blok ini rosak serentak," katanya.
Sementara itu Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Pangsapuri Seri Sena, Jasni Abdul Hamid berkata, kejadian itu sering berlaku.
"Kita dah pun membuat laporan namun sehingga kini keadaan lif masih belum boleh digunakan.
"Kami bimbang kejadian buruk bakal berulang kerana baru-baru ini seorang warga emas terjatuh tangga," katanya.
Dalam pada itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sena, Asrul Nizan Abd Jalil turut menggesa pihak berwajib melakukan pembaikan segera bagi memastikan penduduk mendapat keselesaan sewajarnya.
"Saya dah lapor kepada pihak kerajaan Perlis sejak September lalu dan malangnya jawapan yang diberi adalah sama.
"Berkaitan kerosakan lif pihak JKR telah dimaklumkan dan mereka dalam proses membaiki lif berkenaan namun perlu menunggu barang yang dipesan kerana kerosakan melibatkan sensor," katanya.
Tambah Asrul, pihaknya turut kesal dengan punca berlakunya kerosakan lif ini adalah disebabkan oleh vandalisme.
"Perbuatan berkenaan tidak dapat dikesan ekoran kamera litar tertutup turut dirosakkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab," jelasnya.
Flat Pangsapuri Seri Sena wujud sejak tahun 2007 dan mempunyai 13 tingkat dengan jumlah rumah sebanyak 240 unit.