PONTIAN - Usia menjangkau 100 tahun tidak pernah mematahkan semangat seorang warga emas untuk mengundi pada setiap pilihan raya termasuk pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai pada 16 November ini.
Meskipun kini berkeadaan uzur dan tidak lagi mampu berjalan, Jenab Jaman yang berasal dari Kampung Rambah di sini enggan melupakan tanggungjawab sebagai pengundi.
Suaminya, Salleh Dahlan, 88, berkata, umur Jenab menjangkau 100 tahun disahkan oleh ahli keluarga sekalipun tarikh kelahiran diri isterinya dicatatkan 27 Januari 1927 dalam MyKad.
Mengakui kecenderungan Jenab kepada dunia politik, Salleh mendedahkan isterinya sering bertanyakan mengenai tarikh mengundi kepadanya dan anak-anak setiap hari.
"Sejak kami bernikah sampai sekarang tanggungjawab mengundi tidak pernah diabaikan makcik.
"Sekarang ini makcik sudah terlantar sakit tua lebih setahun. Bila ada PRK di sini, tiap-tiap hari dia tanya bila mengundi. Dia memang semangat sikit," katanya kepada Sinar Harian sewaktu ditemui di rumahnya di sini.
Salleh berkata, pada PRK kali ini, isterinya akan mengundi di pusat mengundi bertempat di Sekolah Kebangsaan(SK) Rambah dibantu anak bongsunya, Mohamad Yaacob Mohamed, 56.
Menurutnya, isterinya juga terpaksa mendapatkan khidmat bantuan kerusi roda untuk bergerak ke pusat mengundi.
"Bagi makcik, mengundi ini satu tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan sebab ingatan dia masih kuat walaupun sakit tua.
"Bila imbau balik kenangan hidup susah sewaktu zaman komunis dan Jepun, kami berdua anggap undi sangat penting untuk pastikan kerajaan dipilih terbaik untuk rakyat," katanya.
Salleh berkata, isterinya juga ada memaklumkan yang dia berharap calon yang menang PRK Parlimen Tanjung Piai akan betul-betul berkhidmat kepada rakyat.
"Dia ada cakap pada pakcik, dia harap mana-mana calon menang kena betul-betul tolong rakyat. Kalau sudah dapat (menang), tidak ambil berat, dia rasa terkilan.
"Kami pun rasa sedih kehilangan wakil rakyat sebelum ini (Allahyarham Datuk Md Farid Md Rafik) kerana arwah seorang yang baik," katanya.
Sementara itu, Jenab sewaktu ditemui mengakui sukar untuk membuat pilihan terhadap calon-calon bertanding PRK Parlimen Tanjung Piai kali ini.
"Susah nak pilih, tengoklah macam mana nanti. Apapun, makcik tetap semangat hendak mengundi PRK kali ini," katanya.