Padah tangguk kerang tanpa lesen

Iklan
Dua nelayan tempatan ditahan untuk siasatan lanjut.

GEORGETOWN - Dua nelayan tempatan ditahan bersama sebuah bot oleh sepasukan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Pulau Pinang selepas dipercayai menangguk kerang di tapak kultur kerang tanpa lesen yang sah semalam.

Kepten Maritim Hamizan Harun berkata, penahanan kedua-dua nelayan berusia 25 tahun itu dibuat selepas pihaknya mendapat aduan daripada orang awam berhubung aktiviti haram tersebut.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sehubungan itu pihaknya menjalankan Op Pertiwi/Op Bersepadu bagi mengesan aktiviti menangguk kerang di tapak kultur kerang tanpa lesen sah itu.

"Siasatan awal mendapati, bot tersebut tidak mempunyai nombor pendaftaran. Oleh itu, kita menahannya pada jarak 0.5 batu nautika dari barat muara Sungai Kerian.

Iklan

"Hasil pemeriksaan mendapati dua lelaki tempatan turut berada di atas bot itu. Mereka dipercayai melakukan kesalahan mengikut Seksyen 8(a) Akta Perikanan 1985 dan Peraturan 4(1) Peraturan-peraturan Perikanan (Pemuliharaan dan kultur kerang 2002)," katanya dalam satu kenyataan tadi.

Bot tanpa nombor pendaftaran dibawa ke Jeti PPM Batu Uban untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, APMM Pulau Pinang turut merampas peralatan menangguk kerang, empat bakul untuk mengisi kerang selain kerang seberat 15 kilogram.

Iklan

"Kedua-duanya ditahan dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin, Batu Uban untuk siasatan lanjut.

"Dengan penahanan ini, APMM Pulau Pinang berharap lebih ramai lagi orang awam menyalurkan maklumat berhubung aktiviti yang menyalahi undang-undang, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650," katanya.