TAIPING - Seorang penyelia kilang melecur separuh badan selepas disambar api ketika menggunakan mesin pencanai di sebuah kilang penghasilan gas acetylene di Kawasan Perindustrian Kamunting, di sini kelmarin.
Lelaki berusia 40 tahun itu kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Taiping setelah melecur dari bahagian perut hingga ke kepala.
Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Ir Zamzurin Maarof berkata, pihaknya bertindak menjalankan siasatan setelah menerima laporan kejadian dan siasatan awal mendapati mangsa didapati melakukan kerja-kerja mencanai permukaan pada ruang bukaan ‘turn bin’ ketika kejadian.
"Semasa melakukan kerja, telah berlaku letupan kerana terdapat saki-baki karbait di dalam ‘turn bin’ tersebut.
"Mangsa telah disambar api yang terhasil semasa letupan itu,” katanya.
Menurutnya, empat notis pembaikan dikeluarkan atas kegagalan menyediakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko yang lengkap untuk proses pengendalian dan membaik pulih ‘turn bin’.
"JKKP Perak akan mengambil tindakan perundangan sekiranya didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994.
"Kejadian ini boleh dielakkan sekiranya majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.