Mayat remaja ditemukan terapung

Iklan
Anggota bomba menaikkan mangsa yang ditemukan terapung kira-kira 8.40 pagi tadi.

KULIM - [DIKEMASKINI] Seorang bapa yang menemukan pakaian anaknya ketika berusaha mencari remaja itu di Sungai Kulim menjadi petunjuk anaknya lemas di sungai berkenaan.

Mangsa, Shukuhviran Chandra Segaran, dari Taman Salad, Lunas, dipercayai tidak pulang ke rumah sejak 12 November menyebabkan bapanya nekad mencari anaknya.

Iklan
Iklan

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Mohd Yusof Shaari berkata, pihaknya menerima maklumat kehilangan pelajar tingkatan empat itu petang semalam.

Menurutnya, mangsa disyaki mandi di Sungai Kulim berdekatan Lebuhraya BKE, Lunas, Kulim, Kedah selepas pakaiannya ditemui di lokasi kejadian.

Iklan

"Difahamkan, mangsa bersama rakan-rakan sekolah kerap berenang dan mandi di sungai terbabit dan beliau mengesyaki anaknya hilang ketika mandi di situ," katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim, Penolong Penguasa Bomba, Hamizul Azwan Hamdan berkata, operasi mencari dan menyelamat dijalankan anggota bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air semalam dan bersambung pada jam 8 pagi tadi.

Iklan

Menurutnya, mayat ditemukan terapung pada jam 8.40 pagi tadi berdekatan muara Mengkuang Titi kira-kira 10 kilometer dari lokasi terjatuh dan bomba mengambil masa kira-kira lima minit untuk menaikkan mangsa.

"Mayat diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut," katanya.