Pulau Pinang mohon peruntukan RM100 juta

Iklan
Jagdeep menunjukkan dua surat permohonan peruntukkan penyelenggaraan kepada KPKT yang dihantar kerajaan negeri beberapa bulan lalu.

GEORGETOWN- Kerajaan Pulau Pinang membuat permohonan peruntukan sebanyak RM100 juta daripada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) bagi projek penyelenggaraan perumahan di negeri ini.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jagdeep Singh Deo berkata, peruntukan itu adalah untuk Projek Penyelenggaraan Perumahan (PPP) perumahan awam dan Tabung Penyelenggaraan Perumahan (TPPM) untuk perumahan swasta kos rendah tahun depan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, sebanyak RM28.7 juta akan diperuntukkan kepada PPP melibatkan 603 projek termasuk 33 penggantian lif di beberapa perumahan awam.

"Kita memberi tumpuan kepada masalah lif kerana kebanyakannya sudah daif. Antara rumah yang disenaraikan ialah di Rumah Pangsa Padang Tembak, Kampung Melayu, Gat Lebuh Noordin dan Desa Wawasan melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM8.91 juta.

Iklan

Selain itu, ia juga melibatkan penggantian tangki air dan sistem retikulasi di 169 unit bernilai RM9.25 juta antaranya di Rumah Pangsa Batu Lanchang dan Batu Lanchang.

"Peruntukan juga bagi penggantian bumbung melibatkan tiga blok bernilai RM624,000 di Rumah Pangsa Desa Wawasan dan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Taman Manggis," katanya pada sidang media di pejabatnya di Kompleks Tunku Abdul Rahman (Komtar) di sini tadi.

Iklan

Jagdeep berkata, di bawah PPP juga, ia meliputi pengecatan bangunan dan harta melibatkan 18 blok bernilai RM3.5 juta antaranya di Rumah Pangsa Ampang Jajar dan PPR Taman Manggis.

"Permohonan itu juga meliputi pembaikan kerosakan umum pada kemudahan awam (keretakan struktur bangunan) melibatkan tujuh blok bernilai RM3.5 juta di Rumah Pangsa Padang Tembak.

"Selain itu, ia juga untuk pemasangan 54 unit 'Anti Vandalisme Lift Systems' (AVAS) dan kamera litar tertutup (cctv) bernilai RM1.08 juta di Rumah Pangsa Padang Tembak, Kampung Melayu, Gat Lebuh Noordin, Dewa Wawasan dan Ampang Jajar," katanya.

Beliau berkata, bagi TPPM pula, ia melibatkan RM72.1 juta bagi 121 projek bagi perumahan swasta kos rendah termasuk RM3.7 juta adalah permohonan melibatkan penggantian lif.

"Permohonan dari Majlis Bandaraya Pulau Pinang melibatkan 34 projek bernilai RM16.1 juta manakala Majlis Bandaraya Seberang Perai pula dengan 87 projek bernilai RM55.9 juta.

Jagdeep menambah, sejak 2008 hingga September tahun ini, kerajaan negeri memperuntukkan RM232 juta untuk menyelenggara semua skim perumahan awam, perumahan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan perumahan swasta yang layak.

Tambahnya, jumlah itu melibatkan RM178 juta untuk perumahan awam kerajaan negeri, RM22 juta untuk perumahan PBT dan RM32 juta untuk perumahan swasta.