IPOH - Satu klip video menunjukkan seorang lelaki mirip Exco Kerajaan Perak yang dipercayai merancang menjatuhkan Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu tular hari ini.
Dalam klip berdurasi 5:14 minit itu, seorang lelaki mirip Exco Perak sedang berbual dengan individu tidak kenali namun deskripsi video tersebut mengatakan perbincangan bersama tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak untuk memujuk mereka melompat menyokong Exco berkenaan sebagai Menteri Besar Perak yang baharu sekali gus menyingkirkan Ahmad Faizal.
Iklan
Iklan
Menerusi video itu, lelaki berkenaan mengatakan beberapa Ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bertemunya untuk menyingkirkan Ahmad Faizal sebagai Menteri Besar Perak.
"Mereka nak Peja (Ahmad Faizal) dibuang, dijatuhkan dan (ganti) MB baru. So dia cadang jumpa saya, cadangkan saya (sebagai MB baru). Saya kata okeylah. Jadi inilah tujuan (pertemuan).
"Lepas ada orang yang cukup ini akan jumpa dengan Tuanku (Sultan Perak) dan the rest (selebihnya)...," katanya menerusi rakaman video tersebut.
Dalam masa dua jam dimuat naik, video tersebut telah ditonton lebih 100 kali.
Sinar Harian sedang berusaha mendapatkan penjelasan Exco terbabit mengenai penularan video berkenaan.