PONTIAN - Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengingatkan pengundi di Parlimen Tanjung Piai bahawa pembangkang tidak mampu berbuat apa-apa seandainya diberikan kemenangan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
"Jangan kita lupa, kita ada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukup dari Barisan Nasional ( BN). Apa dia buat, mana wajah dia? Kalau beri kemenangan kepada BN, mereka tak mampu berbuat apa-apa, menang pun mereka tetap jadi pembangkang.
"Kalau beri mandat kepada Pakatan Harapan (PH), sudah dibuktikan Allahyarham Datuk Dr Md Farid Md Rafik berjaya membawa projek dan melaksanakan tanggungjawab,” katanya ketika sidang media di Pusat Media di Terminal Sejahtera Pontian di sini hari ini.
Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata, sokongan kepada PH dijangka meningkat sebelum hari pengundi pada 16 November ini.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan jentera parti tidak terlalu yakin sebaliknya perlu bekerja kuat termasuk menarik 12 peratus pengundi atas pagar dengan mendekati golongan terbabit sebaik mungkin bagi menyampaikan mesej tentang dasar PH.
"Saya yakin sokongan kepada PH akan meningkat. Keyakinan ini disandarkan kepada kehadiran pemimpin-pemimpin utama ke Tanjung Piai iaitu Tun Dr Mahathir Mohamad, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan lain,” katanya.
Mengenai beberapa laporan yang menyatakan sokongan kepada BN mendahului PH, Salahuddin menjelaskan, beliau tidak bimbang dengan mana-mana kajian kerana ia bersifat bebas, dilakukan oleh sebarang pihak atau penganalisis politik.
"Sama juga kita ada laporan yang kata PH mendahului. Jangan terlampau yakin, biar kita rasa sedikit terbelakang, kita rasa macam kurang sokongan tetapi jentera akan lipat gandakan usaha untuk meraih sokongan,” katanya.