SHAH ALAM - Selangor mencatatkan peningkatan pendaftaran pelajar Tahun Satu dan Tingkatan Satu bagi sesi persekolahan 2019.
Pengarah Jabatan Pendidikan Selangor, Mohd Salleh Mohd Kassim berkata, seramai 96,000 murid Tahun Satu didaftarkan tahun ini berbanding 91,000 tahun lepas.
Sementara Tingkatan Satu menurutnya, menunjukkan tambahan 3,000 pelajar dari 70,000 kepada 73,000 pelajar.
"Alhamdulillah sesi persekolahan tahun ini berjalan lancar walaupun terima pelbagai aduan dan rungutan namun ia adalah perkara biasa berjaya diselesaikan menerusi siasatan serta pemeriksaan.
"Saya hargai komitmen warga pendidik Selangor yang bertungkus lumus dalam memastikan perjalanan sesi persekolahan tahun ini berjalan lancar," katanya ditemui di program Education Fun Run 2019 anjuran Kelab Sukan dan Kebajikan Jabatan Pendidikan Selangor (Kesuba) yang diadakan di Taman Botani Negara Bukit Cahaya Seri Alam di sini, hari ini.
Mengulas program julung kali diadakan itu menurutnya, kira-kira 1,700 peserta menyertai acara larian yang bertujuan sebagai platform eratkan silaturahim warga pendidik dengan masyarakat dan mengetengahkan amalan gaya hidup sihat.
"Amalan gaya hidup sihat patut jadi amalan warga pendidik kerana melalui badan yang sihat dan cergas memberikan semangat semasa menjalankan tugas dalam bilik darjah serta mengurangkan tekanan stres.
"Program juga berjaya mengumpul dana yang akan diagihkan kepada murid-murid yang memerlukan," katanya.
Pelepasan peserta disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.