KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini kecoh seketika dengan isu permit kempen rumah ke rumah melibatkan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai, Johor.
Ia bermula apabila Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjung Karang) bangun bagi membangkitkan perkara itu sebelum sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2020 Peringkat Jawatankuasa.
Noh menyatakan, beliau telah menghantar usul supaya arahan dikeluarkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) berhubung kempen pilihan raya dibuat dari rumah ke rumah yang perlu mendapatkan permit daripada pihak polis, dibatalkan.
"Kita kena bahas isu ini sebab saya lihat arahan ini bertentangan beberapa Akta Pilihan Raya, Akta Kesalahan Pilihan Raya dan serta Artikel 9 Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Nga Kor Ming kemudian mengarahkan Noh supaya duduk dan mendengar penjelasan yang akan dilakukannya.
"Saya telah beri Tanjung Karang ruang dan peluang secukupnya untuk berhujah panjang lebar tetapi oleh kerana usul itu tidak memenuhi syarat peraturan mesyuarat, usul itu telah ditolak dan fakta itu juga silap kerana arahan itu bukan dikeluarkan SPR, oleh pihak polis.
"Fakta pun tidak tepat, oleh itu di bawah Perkara 43 (Peraturan Mesyuarat), keputusan Speaker muktamad (menolak usul)," katanya.
Noh bagaimanapun terus mengemukakan hujahnya dan meminta Kor Ming memberi jaminan penguatkuasaan permit itu tidak akan berlaku, sebelum Datuk Seri Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) mencelah dan mempersoalkan tindakan SPR sehingga menimbulkan sedikit kekecohan.
Kor Ming dengan tenang menjelaskan Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak boleh mengeluarkan arahan kepada polis kerana hanya Menteri Dalam Negeri boleh berbuat demikian sebelum meneruskan kembali persidangan dewan walaupun Noh masih menyuarakan rasa tidak puas hati berhubung isu itu.
Polis sebelum ini telah menetapkan semua parti dan calon yang bertanding dalam PRK Tanjung Piai perlu mendapatkan permit bagi kempen yang dibuat dari rumah ke rumah sehingga menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan pembangkang. - Bernama