BURREL CREEK - Angka kematian akibat kebakaran hutan di timur Australia meningkat kepada empat orang susulan penemuan mayat seorang lelaki di sebuah hutan belukar, kata polis hari ini.
Penduduk menemui mayat dipercayai seorang lelaki berusia 58 tahun berhampiran bandar Kempsey, New South Wales (NSW) yang merupakan antara kawasan dilanda kebakaran.
Tiga mangsa lain turut maut di NSW, negeri paling terkesan susulan siri kebakaran hutan yang terjadi sejak minggu lalu.
Lebih 100 kebakaran dilaporkan berlaku hari ini namun keadaan yang sedikit pulih membolehkan penduduk pulang menjenguk kediaman masing-masing yang musnah.
Dalam pada itu, kebakaran turut menyebabkan ratusan rumah penduduk dan lebih satu juta hektar tanah musnah.
Keadaan dijangka kembali meruncing di Queensland dan NSW pada hujung minggu ini berikutan suhu tinggi dan angin kencang dan kebanyakan kebakaran masih belum dapat dikawal sepenuhnya.
Sementara itu di Burrell Creek, berpuluh anggota bomba bertungkus-lumus memadam kebakaran hutan yang setakat ini telah memusnahkan 24,000 hektar kawasan dari bandar Old Bar hingga ke Hillville di utara NSW.
Hidupan liar turut menjadi mangsa kebakaran hutan, dilaporkan sejumlah 350 ekor koala terbunuh di sebuah rizab semula jadi berhampiran Port Macquarie sekali gus menimbulkan kebimbangan tentang masa depan haiwan berkenaan di kawasan terbabit. - AFP