Op Blue Devil: 211 anggota polis ditahan

Iklan

KUALA LUMPUR - Sebanyak 211 anggota polis ditahan selepas didapati positif dadah menerusi ujian saringan awal dalam Op Blue Devil yang dijalankan di seluruh negara sejak operasi itu dilancarkan pada Ogos lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, pelaksanaan Op Blue Devil dilihat memberi kesan positif kepada warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang terbabit dalam penyalahgunaan dadah untuk melakukan perubahan dalam diri mereka.

Iklan
Iklan

"Operasi ini bukanlah untuk menghukum...sekarang saya lihat anggota mempunyai keinginan melakukan perubahan dan memperbetulkan diri (daripada najis dadah),” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Seminar Memperkasakan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Peringkat Semenanjung Malaysia di Maktab PDRM Kuala Lumpur di sini hari ini.

Iklan

Mengulas mengenai Op Damn Tokan pula, Mohd Khalil berkata, sehingga kini 456 individu ditahan kerana menjalankan kegiatan pengedaran dadah secara kecil-kecilan di seluruh negara sejak operasi itu dilancarkan pada September.

"Kebanyakan tokan ini ditahan di Sarawak, Selangor, Johor dan Kelantan...matlamat sekarang adalah menghapuskan tokan dadah,” katanya.

Iklan

Mohd Khalil juga berkata, tindakan tatatertib akan diambil terhadap mana-mana pegawai atau anggota yang terlibat memiliki atau menggunakan ketum.

"Tindakan akan dikenakan selaras arahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador yang mahukan pasukan PDRM bersih,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seramai 14 anggota polis ditahan disyaki memiliki air ketum menerusi Op Blue Devil di tempat letak kereta sebuah pasar raya di Shah Alam, Selangor pada 1 November lepas. - Bernama