KUALA LUMPUR - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail menyeru rakyat membuat analisis kewangan yang lengkap terutama mengenai aliran tunai sebelum mengambil keputusan untuk membuat tanggungan hutang jangka panjang.
Beliau berkata, seseorang yang berhutang itu mesti yakin akan kemampuannya untuk melangsaikan hutang dan sepatutnya merancang kewangan terlebih dahulu dan bukan selepas berhadapan dengan masalah hutang.
"Saya menyeru semua yang hendak memulakan satu tanggungan hutang jangka panjang, seperti hutang kenderaan atau hutang kediaman, supaya membuat analisis kewangan selengkapnya, terutama analisis aliran tunai, sebelum membuat apa-apa keputusan.
"Dalam pada itu, bagi yang hendak membayar perbelanjaan menggunakan kad kredit, sebelum dileret kad itu, tanyalah diri sendiri sama ada mampu membayar keseluruhan bil bulanan kad kredit itu sebelum atau pada tarikh yang ditetapkan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada pelancaran Majlis Anugerah Kolaborasi Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) 2018/2019 di Sasana Kijang.
Turut hadir, Pengerusi AKPK Anuar Mohd Hassan dan Penolong Gabenor Bank Negara Abu Hassan Alshari Yahaya.
Dr Wan Azizah berkata, jumlah pelanggan yang menerima khidmat kaunseling AKPK mencecah sejuta orang sehingga Oktober lepas dan daripada jumlah itu, hampir 300,000 orang menyertai Program Pengurusan Kredit untuk mengawal semua pinjaman mereka.
"Saya juga dimaklumkan bahawa AKPK berjaya melangsaikan 24,000 kes hutang yang bernilai lebih RM1 bilion," katanya.
Dalam ucapannya, Dr Wan Azizah yang juga Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat berharap kolaborasi AKPK dengan badan kerajaan, NGO dan sektor swasta dapat meningkatkan tahap literasi dan amalan baik kewangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jelasnya, ia berikutan rata-rata rakyat Malaysia masih jauh daripada mencapai simpanan untuk kecemasan yang dicadangkan oleh pakar kewangan peribadi iaitu di antara tiga dan enam bulan perbelanjaan bulanan.
"Saya difahamkan, rata-rata rakyat Malaysia mempunyai tahap celik kewangan yang terhad sedangkan ia sangat diperlukan bagi mengurus kewangan seseorang, sama ada untuk jangka pendek, sederhana atau panjang," jelasnya.
Beliau turut berharap agar usaha itu bukan hanya disasarkan kepada mereka yang sudah bekerja, tetapi juga kepada mereka yang masih menuntut di institusi pengajian tinggi dan sekolah menengah.
"Saya percaya semua badan yang terlibat mampu mengukuhkan asas masyarakat dalam kefahaman kewangan dan seterusnya meningkatkan kesejahteraan kewangan lebih ramai rakyat," katanya.
Pada masa yang sama, Dr Wan Azizah turut mengesyorkan agar golongan yang bukan dalam skim pekerjaan berpencen mempunyai simpanan tambahan untuk persaraan mereka selain caruman mandatori di Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Pada majlis itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) memenangi Anugerah Media Terbaik (Rakan Media) manakala Kementerian Pendidikan merangkul anugerah keseluruhan - Anugerah Apresiasi Unggul selain menyaksikan 16 lagi pemenang anugerah kolaborasi mengikut kategori.
- Bernama