KAJANG - Bapa kepada kanak-kanak lelaki yang dilanggar kereta ketika menunggang basikal di hadapan rumah di Jalan Parklands Taman Semenyih, Kajang Ahad lalu tampil membuat penjelasan mengenai insiden tersebut hari ini.
Lelaki itu yang hanya mahu dikenali sebagai Budin, 30, menjelaskan, anaknya bermain di luar rumah bukan tanpa pengawasan cuma dia yang ketika itu sedang membasuh kereta tidak perasaan anaknya keluar semula selepas masuk beberapa minit dalam pagar rumah.
Budin juga mengaku kesalahannya, namun menafikan anggapan netizen bahawa dia membiarkan anaknya tanpa pengawasan.
"Video yang tular itu pendek dan kalau ikut video panjang boleh tengok anak saya keluar masuk dari rumah dan saya memang dah lepaskan dia bermain bersama kawan-kawan dengan pengawasan.
"Selalu kalau anak saya main memang saya akan tunggu, hari itu sekejap sahaja saya berpaling dan tak perasan ada kereta yang datang. Kalau saya perasan memang saya akan pergi dan halang anak saya.
"Lagipun di depan kereta itu memang ramai anak jiran yang main di jalan raya itu. Pada mulanya saya ingatkan kereta tersebut yang juga jiran saya terlanggar kereta jiran lain tetapi rupa-rupanya anak saya yang dilanggar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Budin yang juga seorang jurutera memberitahu, akibat kemalangan itu anaknya mengalami keretakan di bahagian lutut.
Terdahulu, rakaman video insiden tersebut menimbulkan pelbagai reaksi daripada netizen yang rata-ratanya menganggap ia sebagai kecuaian ibu bapa.
Bagaimanapun Budin menafikan dia memuat naik video tersebut seperti yang didakwa netizen malah terkilan ia disebarkan di Facebook.
"Saya tak tahu siapa yang sebarkan video tersebut kerana saya hanya menghantarnya kepada rakan untuk tanya pendapat mengenai kejadian itu," katanya.
Menurutnya, dia hanya melaporkan perkara itu di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang selepas video berkenaan tular semalam.
"Saya harap orang ramai tidak menilai hanya daripada video pendek seperti itu," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: [VIDEO] Tak tutup pintu pagar, anak kecil digilis depan rumah