Calon giat kempen berbaki 48 jam

Iklan
Gambar hiasan - Foto Bernama

PONTIAN - Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai semakin menghampiri penghujungnya selepas hampir dua minggu berkempen sejak proses penamaan calon 2 November lepas.

Berbaki kira-kira 48 jam sebelum hari mengundi Sabtu ini, calon dilihat melakukan ‘pecutan akhir’ dengan melipatgandakan usaha bertemu pengundi sebaik mungkin bagi memenangi hati mereka.

Iklan
Iklan

Selain calon, pelbagai pemimpin daripada parti yang diwakili turut turun padang menggiatkan ceramah kelompok, pertemuan mahu pun majlis ramah mesra bersama-sama pengundi di 27 Pusat Daerah Mengundi (PDM) tanpa mengira siang atau malam.

Jika kempen pusingan pertama merujuk kepada tujuh hari pertama, dilihat hambar tanpa kehadiran ramai pemimpin utama parti bertanding yang turun ke Tanjung Piai, kini ia mula rancak ketika memasuki pusingan kedua.

Iklan

Bagi Pakatan Harapan (PH), kempen pusingan kedua mereka di bumi 'penghujung benua Asia' ini semakin rancak mulai Isnin lepas dengan kehadiran Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi sembang santai dan ceramah perdana di beberapa tempat.

Kesudian pemimpin nombor satu, Tun Dr Mahathir Mohamad turun padang bertemu 27 ketua PDM PH petang semalam, sudah tentunya 'memanaskan' lagi perjalanan kempen kerajaan.

Iklan

Sambil diiringi isteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali, aura kehadiran Pengerusi PH itu kemudian cukup terpancar menerusi program Ceramah Perdana di Kukup Laut, malam tadi, malah, Perdana Menteri awal-awal lagi sudah mempelawa pengundi hadir ke ceramah mega itu, menerusi satu video ringkas, beberapa hari sebelum itu.

Selain itu, tidak ketinggalan turun berkempen sejak beberapa hari lepas ialah Presiden Parti Amanah Negara (Amanah) Mohamad Sabu, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng, Ketua Wanita PH, Zuraida Kamaruddin selain pimpinan kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seperti Ketua Srikandi Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armanda), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Semalam, Timbalan Presiden PH Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Presiden Bersatu turut mengakui tempoh dua hari ini adalah kritikal, namun, PH menerima respons positif daripada pengundi setelah mendengar ceramah, kempen dan pelbagai penerangan tentang dasar kerajaan.

Barisan Nasional (BN) pula nampaknya tidak ketinggalan 'menurunkan' pemimpin ternama mereka termasuk kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak walaupun berdepan dengan kes mahkamah, selain Pengerusi BN dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Apa sahaja boleh berlaku dalam tempoh tidak sampai 48 jam kempen ini, namun, bagi mengelak provokasi, polis sentiasa mengingatkan parti dan calon bertanding supaya menjaga emosi penyokong masing-masing.

PRK Parlimen Tanjung Piai diadakan susulan kematian wakil rakyatnya, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, dari PH, pada 21 September lepas akibat komplikasi jantung.

Ia menyaksikan pertembungan enam penjuru antara calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng (BN), Wendy Subramaniam (Parti Gerakan Malaysia), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia) serta dua calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.

Bagi Karmaine, beliau sudah meliputi 100 peratus kawasan parlimen itu dan baki yang ada akan digunakan sepenuhnya oleh Ketua Bersatu Bahagian Tanjung Piai itu dengan pendekatan berkempen rumah ke rumah.

Jeck Seng turut menggunakan pendekatan bertemu kumpulan kecil pengundi selain menganggap penduduk yang ditemuinya bukan sebagai pengundi semata-mata, sebaliknya rakan lama.

Wendy pula turut dilihat mengadakan sesi santai di warung dalam memenangi hati pengundi manakala Badhrulhisham pula memaklumkan seramai 1,000 petugas partinya akan membantu kempen berbaki dua hari ini.

Bagi calon Bebas, Dr Ang Chuan Lock yang berkempen menerusi Facebook dan secara bersemuka dengan pengundinya, beliau yakin peluangnya masih ‘terbuka’ kerana turut menerima sokongan positif daripada rata-rata pengundi manakala Faridah Aryani pula yakin sokongan padu akan diraih khususnya daripada golongan B40 pada hari penentuan pilihan raya berkenaan.

Untuk rekod, PRK Parlimen Tanjung Piai mempunyai seramai 52,986 orang pemilih berdaftar terdiri daripada 52,698 pengundi biasa, 280 pengundi awal dan lapan orang pengundi tidak hadir kerana berada di luar negara. - Bernama