WASHINGTON - Presiden Turki Recep Tayyip Erdogan pada Rabu berkata, beliau sudah memulangkan kembali surat Presiden Amerika Donald Trump yang menggesa Erdogan tidak menjadi 'bodoh' dengan menyerang Syria, lapor agensi berita Xinhua.
"Surat itu sudah dipulangkan kepada Tuan Presiden tengah hari tadi," kata Erdogan pada sidang akhbar sejurus selepas bertemu Trump di Rumah Putih.
"Kami bagi balik surat yang kami terima," katanya.
Pada 9 Oktober lalu, Trump menulis surat kepada Erdogan dan menggesa beliau supaya tidak mengerah anggota tenteranya ke Syria bagi menentang puak Kurdish.
"Jangan berlagak kuat. Jangan jadi bodoh," tulis Trump di akhir surat berkenaan.
Surat berkenaan menjadi viral di media sosial dan menerima kecaman teruk kerana dianggap menggunakan bahasa yang tidak konvensional.
Ia gagal menghalang Erdogan untuk mengarahkan tenteranya memasuki Syria.
Laporan sebelum ini oleh BBC membayangkan, Erdogan membuang surat itu ke dalam 'tong sampah' sejurus menerimanya. - Bernama