APM ingatkan orang ramai jauhi pantai

Iklan
Bendera merah dinaikkan sebagai tanda amaran kepada orang ramai yang berkunjung ke pantai.

KUANTAN - Orang ramai dinasihatkan agar peka dengan amaran bendera merah yang dipacak di pesisir pantai berikutan ramalan ribut tropika yang berlaku sejak semalam hingga Sabtu nanti.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri, Kolonel (PA) Zainal Yusof berkata, tanda amaran itu amat penting bagi memberi peringatan kepada masyarakat tentang bahaya yang mungkin berlaku di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, justeru orang ramai perlu sentiasa mengambil langkah keselamatan anak-anak mereka apabila melakukan aktiviti perkelahan di kawasan berpantai.

"Ibu bapa, penjaga atau mana-mana individu perlu peka dengan tanda amaran seperti pengibaran bendera merah agar tidak mandi bagi mengelak kejadian buruk.

Iklan

"Sekiranya terdapat aktiviti bersama keluarga, ibu bapa atau penjaga perlu mengawasi anak-anak tanpa membiarkan mereka bermain secara bersendirian," katanya ketika dihubungi hari ini.

Anggota APM memberi nasihat kepada pengunjung bahaya bermain air apabil tanda amaran dinaikkan.

Sinar Harian turut melakukan tinjauan di empat lokasi pantai di sekitar Teluk Chempedak, Batu Hitam, Kempadang dan Pantai Sepat.

Iklan

Sepanjang pemerhatian mendapati ada pengunjung melakukan riadah dan ada juga yang bermain air di kawasan persisiran pantai itu.

Namun begitu, tiada sebarang aktiviti mandi di semua lokasi itu.

Menyentuh perkara itu, Zainal berkata, pihaknya hanya boleh memberi amaran dan nasihat kepada orang ramai.

Jelasnya, namun ia terpulang kepada mereka samada mahu mendengar atau sebaliknya, bagaimanapun pihaknya sentiasa memantau situasi ini dari masa ke masa.

"Kita hanya boleh melarang, beri nasihat dan menerangkan keadaan sesama pantai berkenaan, namun jika ada di antara mereka mahu terus mandi, kami tiada hak untuk melarang.

"Ada pengunjung yang akur, ada juga yang tidak menghiraukan. Tetapi apa yang saya harapkan agar mereka patuhi amaran dengan melihat benda yang dipasang," katanya.

Jelasnya, kebiasaannya bendera merah dinaikkan apabila keadaan laut tidak sesuai untuk mandi dan keadaan musim laut bergelora.

Orang ramai masih melakukan aktiviti dipantai meskipun tanda amaran telah dipacakkan.

"Kita naikkan bendera ini kerana keadaan laut dengan ombak besar berbahaya untuk sebarang aktiviti pantai," katanya.

Sementara itu, Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kuantan, Kapten (PA) Muhammad Ikram Harun berkata, terdapat anggota APM akan bertugas setiap hari bermula 9 pagi hingga 7 malam untuk memantau kawasan pantai.

"Empat hingga enam anggota yang kita tempatkan di kawasan pantai untuk memantau aktiviti di perairan di persisiran pantai.

"Mereka ini akan menegur pengunjung sekiranya mereka cuba mandi manda di pantai itu,” katanya.

Jelasnya, selain APM, NGO lain seperti Jabatan Amal turut membantu pihaknya menjalankan pemantauan di pesisir pantai bagi mengelak berlakunya tragedi buruk.

Seorang pengunjung, Aishah Abdul Rahman, 35, berkata, dia amat peka dengan bendera merah yang dipasang oleh APM.

"Bila bendera merah dinaikkan itu menandakan ombak besar dan air pasang di kawasan pantai.

"Jadi, saya datang ke sini, hanya untuk menghilangkan tekanan di samping bersuka ria dengan melakukan senaman atau aktiviti lain," katanya.