PONTIAN - Kerjasama antara parti komponen Barisan Nasional (BN) - UMNO, MCA dan MIC dengan Pas pada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai merupakan langkah 'terdesak' dalam dunia politik dan bukannya satu bentuk kerjasama demi kebaikan negara.
Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, beliau yakin kerjasama yang berlaku ketika ini lebih kepada kerjasama politik untuk memenangi PRK ini dan bukan satu kerjasama untuk membina negara dan sebagainya.
"Ia lebih kepada tujuan terdesak dalam dunia politik. Saya yakin pengundi memahami perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program 'Sesi Penerangan Isu-isu MSPO Pekebun Kecil Sawit Johor' di Dewan Serbaguna Sungai Bunyi, di sini hari ini.
Beliau ditanya mengenai 'suasana' politik yang menyaksikan Pas mampu bekerjasama dengan MCA dan MIC pada PRK tersebut.
Shamsul Iskandar turut menepis dakwaan kononnya parti Pakatan Harapan (PH) memainkan isu perkauman ketika berkempen pada PRK Tanjung Piai.
Katanya, PH adalah parti gabungan yang sentiasa menghargai dan menyokong aspirasi Malaysia Baharu yang mengutamakan kepentingan semua kaum malah wacana perkauman tidak lagi 'segar' dalam konteks politik di negara ini.
"Pimpinan (BN) perlu 'cermin' diri mereka sendiri. Kami tidak ada refleksi (perkauman) itu dalam PH," katanya.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang menyelar dan mendakwa PH memainkan isu perkauman ketika berkempen pada PRK itu. - Bernama