Menunggang basikal lajak sekarang ini sudah menjadi trend budak sekolah. Macamlah dulu-dulu trend basikal BMX.
Kononnya sesiapa yang tak ada basikal BMX ketika itu dianggap tidak ikut trend dan susah nak cari geng.
Geng basikal lajak ibaratnya junior geng 'mat rempit'. Tidak semestinya apabila bila mereka besar, geng basikal lajak ini akan bertukar menjadi mat rempit.
Mungkin ada yang timbul kesedaran dan menghentikan aktiviti yang sia-sia itu.
Aktiviti yang mengikut trend ini pun selalunya bermusim, lama-lama mereka akan berhenti dan bertukar kepada aktiviti lain pula.
Namun usaha Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk mewujudkan prosedur operasi standard (SOP) bagi mengekang aktiviti menunggang basikal secara melulu memanglah wajar diberi pujian.
Tindakan mereka bukan sahaja boleh membahayakan nyawa sendiri tetapi juga pengguna jalan raya yang lain.
Menurut Ketua Pengarah JPJ, Datuk Seri Shaharuddin Khalid, penalti maksimum yang boleh dikenakan adalah denda sebanyak RM300 atau jika sabitan itu disabitkan kali kedua atau kemudiannya boleh didenda sebanyak RM1,000 atau penjara bagi tempoh tiga bulan.
Untuk menyekat aktiviti ini, masyarakat perlu saling kerjasama memain peranan.
Bukan hanya meletakkan tanggungjawab di atas pundak ibu bapa sahaja.
Semua ibu bapa hari ini sibuk bekerja untuk mencukupkan keperluan keluarga. Pendapatan tunggal ketua keluarga tidak lagi mencukupi hingga memaksa si ibu turut keluar rumah.
Kadangkala anak-anak dibiarkan berdikari mengurus diri setelah pulang dari sekolah.
Di sinilah punca masalah, apabila mereka berkumpul sel-sel otak mula berhubung.
Oleh itu, kita perlu bersatu dan ambil tahu. Kembali kepada amalan dulu-dulu apabila yang tua saling menegur jika ternampak salah laku anak-anak tetangga.
Selain usaha menyekat aktiviti ini, adalah elok juga budak-budak basikal lajak ini disediakan litar khas untuk mereka bermain sebagaimana cadangan Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia (Pekida) Kelantan.
Biar mereka tunjuk skil di tempat yang selamat dan cara yang betul.
Mana tahu boleh diasah menjadi peserta akrobatik wakili negara ke pertandingan antarabangsa.
Selain itu, usaha JPJ meningkatkan inisiatif pendidikan dan pencegahan melalui usaha advokasi di sekolah juga boleh membantu memberi kesedaran.
Peranan guru dalam hal ini amat diperlukan kerana sebahagian masa siang remaja adalah di sekolah.
Mungkin juga aktiviti basikal lajak boleh dimasukkan dalam salah satu sukan di sekolah.