ALOR GAJAH - Sepasang suami isteri di Jalan Solok Uban, Kampung Brisu di sini terpaksa menumpang ihsan tuan tanah untuk berlindung di sebuah stor lama sejak lebih lima tahun lalu.
Stor yang sebelum ini dijadikan tempat meletakkan jengkaut diubah usai menjadi tempat tinggal mereka kerana tidak mampu memiliki kediaman sendiri dengan pendapatan RM18 sehari sebagai penoreh getah.
K Sinniah, 49, bagaimanapun berkata, dia bersama isteri, K Vicneswayi, 42, kini resah apabila tanah berkenaan dalam proses jual beli.
Menurutnya, mereka reda walaupun tempat tinggalnya basah dan air bertakung setiap kali hujan.
"Nak sewa rumah lain memang saya tak mampu dan sekarang hanya saya seorang sahaja bekerja. Lagipun isteri tidak sihat kerana kencing manis kronik. Kaki kirinya telah dipotong sejak lebih tiga tahun lalu.
"Isteri juga baru sahaja menjalani pembedahan kedua membuang jari di kaki kiri beberapa minggu lalu dan pergerakannya juga agak terbatas," katanya.
Tambahnya, isteri terpaksa membungkus kaki dengan plastik beras bagi menggelakkan kakinya terkena batu hingga terpaksa menjalani pembedahan.
"Melalui cara itu sahaja dapat memulihkan kaki isteri. Lagipun kakinya cepat berpeluh dan keadaan rumah ini boleh menyebabkan batu atau pasir masuk di bahagian yang dibedah," katanya.
Jelasnya, walaupun mempunyai dua anak namun keduanya hanya bekerja makan gaji sebagai jurupam stesen minyak termasuk seorang yang baharu memulakan kerja semalam.
"Saya memang tak mampu nak ada rumah sendiri dan harap berpeluang mendapat bantuan rumah yang lebih selesa di bawah program 'Rumah Peduli.
"Setiap hari saya memikirkan di mana kami mahu tinggal selepas ini dan kalau boleh biarlah mendapat bantuan di kawasan berdekatan agar saya boleh bekerja kampung untuk teruskan kehidupan," katanya.
Sinniah berkata, dia juga mengalami masalah penglihatan namun disebabkan masalah kewangan dia terpaksa melupakan hasrat untuk rawatan.