Cantas bantu tingkat produktiviti ladang sawit

Iklan
Pasukan Unit Mekanisasi Ladang, MPOB menunjukkan Cantas Elektro yang lebih ringan dan mesra alam sekitar bakal berada di pasaran pertengahan 2020.

LEMBAGA Minyak Sawit Malaysia (MPOB) melalui Unit Mekanisasi Ladang telah mengorak langkah dengan memperkenalkan inovasi mesin penuaian bermotor yang diberi nama Cantas dengan objektif meningkatkan produktiviti dan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga pekerja asing selain menarik minat pekerja tempatan bekerja di sektor perladangan.

Menceritakan lebih lanjut teknologi Cantas, pegawai penyelidiknya, Mohd Rizal Ahmad berkata, projek itu mula dirintis oleh Abdul Razak Jelani pada 2003 dengan mempergiatkan usaha dalam menghasilkan teknologi penuaian sawit sebelum ia diperkenalkan dalam kalangan pekebun tiga tahun selepas itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Cantas merupakan mesin penuai kelapa sawit yang mempunyai tiga komponen utama iaitu kepala pemotong (sabit), galah dan enjin dua lejang yang dikuasakan oleh minyak petrol.

Katanya, Cantas berupaya menuai dua kali ganda lebih pantas berbanding menggunakan alat tuaian secara manual iaitu pahat atau sabit.

Iklan

"Dengan adanya mesin Cantas ini ia bukan sahaja mampu mempercepatkan proses tuaian malah dapat mengurangkan keperluan tenaga pekerja sebanyak 30 peratus. Pada tahun 2010 MPOB telah melantik empat syarikat untuk mengeluar serta memasarkannya kepada pekebun.

"Kami telah mendapat maklum balas yang positif daripada pekebun yang menggunakan mesin cantas ini dan pada 2010 MPOB telah memperkenalkan Skim Diskaun Cantas (SKDIC) untuk membantu pekebun kecil mendapatkan alat tersebut,” katanya.

Iklan
Mohd Rizal (kiri) menunjukkan cara-cara pemasangan Cantas Elektro yang lebih mudah dan menjimatkan masa.

Melihat kejayaan Cantas dalam membantu golongan pekebun, MPOB telah memperkenalkan versi terbaharu yang diberi nama Cantas Evo pada tahun 2014 yang masih mengekalkan enjin petrol sebagai sumber kuasa selain melakukan beberapa penambahbaikkan, termasuk mesin yang lebih berkualiti, ringan dan kurang getaran.

Cantas terus berevolusi selari dengan perkembangan dunia yang bergerak ke arah kelestarian alam sekitar berteraskan teknologi hijau dengan membangunkan Cantas berkuasa bateri yang diberi nama Cantas Elektro pada 2017 bagi menggantikan Cantas berkuasa enjin petrol.

Menariknya, pembangunan terbaru itu turut mendapat pengiktirafan pada Ekspo Penyelidikan, Pembangunan dan Inovasi Selangor 2019 apabila meraih tempat kedua bagi kluster pemesinan dan peralatan dalam kategori industri yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) di ibu negara bulan lalu.

Mohd Rizal berkata, pasukannya yang terdiri daripada Mohd Ikmal Hafizi Azaman, Mohamad Asyraf Aziz dan Yosri Gono mengambil masa hampir tiga tahun untuk membangunkan Cantas Elektro selepas melihat potensi untuk melestarikan teknologi hijau.

Katanya, kelebihan Cantas Elektro adalah mesra alam kerana ia tidak mengeluarkan asap, selain mesin berkenaan juga memudahkan pekebun di kawasan pedalaman yang sukar untuk mendapatkan bekalan petrol kerana jarak stesen dari rumah terlalu jauh.

"Saya sendiri pernah berdepan dengan situasi ini ketika melakukan kerja-kerja pemantauan di kawasan pedalaman apabila terpaksa mengambil masa selama tiga hingga empat jam untuk mendapatkan bekalan petrol. Malah, mereka juga sukar untuk menyimpan bekalan petrol kerana ia mudah terbakar.

"Selain itu, ia juga menjimatkan masa dan kos dalam aspek penyelenggaraan berbanding penggunaan petrol kerana memerlukan banyak kelengkapan seperti palam pencucuh, karburetor dan sebagainya,” jelasnya.

Sasar estet dan pekebun kecil Bagi merealisasikan penggunaan Cantas Elektro dalam kalangan pekebun, MPOB telah melantik Myzer Impression Sdn Bhd untuk mengkomersialkan teknologi tersebut melalui bantuan geran pengkomersialan output penyelidikan dan pembangunan (CRDF1) daripada Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC).

"Geran berjumlah RM340,000 ini bertujuan untuk menjalankan pengesahan teknikal pasaran dan sebelum ia diperkenalkan kepada industri yang dijangka pada pertengahan tahun depan,” katanya.

Cantas Elektro lebih ringan dan mesra alam berbanding dua model sebelumnya

Mohd Rizal berkata, pihaknya menyasarkan estet dan pekebun kecil menggunakan inovasi tersebut kerana sektor berkenaan amat memerlukannya berdasarkan kepada jumlah keluasan ladang dikerjakan.

"Ketika ini bilangan pekebun kecil sahaja adalah 248,166 orang merangkumi keluasan lebih kurang 950,170 hektar.

"Untuk rekod keluasan keseluruhan tanaman sawit Malaysia pula adalah kira-kira 5.89 juta hektar,” katanya.

Justeru, katanya, beliau berharap sektor berkenaan dapat menerima teknologi berkenaan dengan baik, sekali gus membantu negara ke arah pelaksanaan teknologi hijau dengan berkesan.

Di samping itu, jelasnya, pihaknya juga berharap inovasi itu mampu meningkat produktiviti dan pendapatan pekerja.