KUALA LUMPUR – Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad disarankan supaya berhenti mengimbau nostalgia sebagai pembangkang, sebaliknya terus bekerja selaku menteri dan kerajaan hari ini.
Gesaan itu dibuat Ketua Pemuda Umno, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki yang meminta Khalid melaksanakan tanggungjawabnya membantu rakyat bukan hanya sekadar ‘bercakap’ di Twitter berlagak seperti pembangkang menyalahkan kerajaan BN.
"Lebih elok jika Khalid berfungsi sebagai kerajaan dan menteri, bukannya masih berfikiran dan berperangai pembangkang.
"Buat kerja sahajalah YB, rakyat di bawah amat sengsara dengan kos sara hidup yang makin menekan. Tidak sebagaimana yang dijanjikan bulan dan bintang dalam manifesto PRU14 PH,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.
Sementara itu, Asyraf Wajdi mendesak Ahli Parlimen Shah Alam itu agar fokus bekerja dan sekali gus mengurangkan keperitan hidup yang terpaksa ditanggung oleh rakyat.
"Sudah-sudahlah bercakap di Twitter, salahkan kerajaan terdahulu.
"Nasib rakyat yang harus dibela, bukannya menuding jari kepada BN,” tegasnya.
Terdahulu, Khalid berkata, penurunan harga petrol RON 95 dan diesel dijangka akan menyumbang akan mengurangkan harga barang dan kos sara hidup rakyat.
Ujarnya, kerajaan PH memang menyimpan hasrat ke arah membantu meringankan bebanan sara hidup rakyat.
Malah beliau secara sinis menyindir kerajaan BN terdahulu yang didakwa tidak pernah menyimpan niat untuk membantu mengurangkan bebanan hidup rakyat.
"Harga minyak RON 95 dan diesel dah turun. Insya-ALLAH menyumbang ke arah menurunkan kos barang dan kos kehidupan rakyat. Satu persatu kita uruskan.
"Memang ada niat dan usaha ke arah itu semua, tidak seperti kerajaan BN dulu. Niat pun tidak ada, apatah lagi usaha,” kata Khalid menerusi Twitter.