KUALA LUMPUR - Seramai 42 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur dalam satu operasi bersepadu di sekitar ibu kota, malam tadi.
Pengarahnya, Hamidi Adam berkata, operasi dijalankan bermula jam 11 malam hingga 2.30 pagi di empat lokasi dan menyasarkan pekerja kedai makan, tukang urut warga asing yang menawarkan pakej seks dan penempatan warga asing.
"Dalam operasi ini kita telah memeriksa 58 orang warga asing antaranya warganegara Bangladesh, Indonesia, Myanmar, China, Pakistan dan India dengan 16 dibebaskan kerana memiliki dokumen perjalanan dan permit kerja yang sah.
"Mereka ditahan berusia dalam lingkungan 21 hingga 45 tahun. Antara kesalahan mereka ialah menyalahgunakan pas atau permit, tinggal lebih masa dan tidak memiliki sebarang dokumen perjalanan," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Menurutnya, seorang warga tempatan yang bertugas sebagai penyelia turut ditahan di bawah Seksyen 56(1)(d) Akta Imigresen kerana melindungi PATI berkenaan.