IPOH - Lebih 10,000 penjawat awam Perak dan Orang Besar Jajahan menerima Bantuan Khas Kewangan sebanyak sebulan gaji atau minimum RM2,000.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pemberian Bantuan Khas Kewangan itu bagi menghargai komitmen dan kerjasama yang diberikan kepada pelaksana negeri.
"Bantuan itu akan dibayar sepenuhnya sebelum berakhir tahun 2019,” katanya ketika membentangkan Belanjawan 2020 Perak di sini hari ini.
Menurutnya, Bantuan Khas Kewangan RM1,000 turut diberikan kepada Guru Sandaran Tidak Terlatih, pekerja sambilan harian dan guru tadika Islam Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).
"Imam, bilal, siak, ketua kampung serta tok batin turut menerima Bantuan Khas Kewangan RM1,000 ini,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri turut mengumumkan beberapa insentif baharu antaranya menyediakan peruntukan RM3 juta bagi Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
"Kerajaan negeri juga akan menubuhkan Institusi Pembangunan Sosial dengan peruntukan RM5 juta.
"Institusi ini berperanan sebagai penghubung di antara badan-badan korporat dan pertubuhan bukan kerajaan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR),” katanya.
Beliau berkata, kerajaan Perak mengumumkan peningkatan peruntukan bagi Belanjawan 2020 kepada RM1.098 berbanding RM1.061 bilion pada tahun sebelumnya.
"Daripada jumlah itu, RM771 juta diperuntukkan bagi anggaran perbelanjaan mengurus manakala RM430 juta lagi disediakan untuk perbelanjaan pembangunan.
"Belanjawan Negeri 2020 itu memberi fokus kepada empat tumpuan iaitu Menjana Ekonomi Seimbang, Keadilan Sosial; Kesejahteraan Rakyat serta Kelestarian Sumber dan Alam Sekitar; Memperkasa Pendidikan dan Modal Insan; dan Memperkukuhkan Tadbir Urus dan Memupuk Tanggungjawab bersama," katanya.