SHAH ALAM - Persatuan Pelajar Islam Selangor Darul Ehsan (Pepias) menggesa langkah proaktif kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri menangani isu kanak-kanak dan remaja yang tidak bersekolah.
Presidennya, Ahmad Fahmi Adzha Mohd Nasarudin berkata, Pepias memandang serius faktor utama 12,281 kanak-kanak dan remaja di negeri ini yang dikatakan bekerja dan tidak minat bersekolah.
Menurutnya, tinjauan yang dilakukan bersama beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO), antara puncanya termasuk kemiskinan, masalah keluarga, tiada warganegara dan masalah sosial.
"Data itu dibentangkan Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari pada Sidang Dewan Undangan Negeri Selangor (DUN) Rabu lalu.
"Kami mengajak semua pihak meneruskan fokus menggiatkan lagi usaha mewujudkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan melanjutkan pelajaran,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, dalam mengejar arus industri 4.0 ke arah pembangunan Smart Selangor, usaha pendidikan harus dipandang serius dan dibangunkan secara kolektif melibatkan semua pihak.
Katanya, tindakan proaktif kerajaan bersama NGO yang berteraskan pendidikan perlu untuk menggembleng tenaga dalam menangani permasalahan terbabit.
Menurutnya, Pepias secara konsisten memberikan kesedaran dan pengetahuan asas kepada pelajar mengenai kepentingan menuntut ilmu melalui program advokasi, khidmat sosial dan motivasi.
"Kami lihat pentingnya keperluan untuk memperbanyakkan lagi bidang alternatif yang boleh diterokai oleh remaja masa kini antaranya bidang kemahiran vokasional atau lebih dikenali sebagai program Inisiatif Kemahiran Teknikal Dan Ikhtisas Smart Selangor (IKTISASS).
"Bagaimanapun, antara kelemahan dikenalpasti adalah akses khusus kepada ibu bapa dan masyarakat terhadap bidang alternatif ini.
"Oleh itu, peranan orang tengah penting sebagai pihak yang menghubungkan kerajaan negeri dengan masyarakat setempat supaya maklumat disampaikan tepat,” katanya.
Menurutnya, program motivasi di sekolah dan Perkampungan Menara Gading (PMG) yang dilaksanakan setiap tahun adalah peluang untuk anak-anak ini melanjutkan pelajaran ke tahap lebih tinggi.
Terdahulu, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, daripada jumlah itu seramai 11,031 membabitkan pelajar sekolah menengah manakala seramai 1,250 murid sekolah rendah.
Beliau berkata, bagi sekolah menengah, bilangan tidak meneruskan persekolahan atas sebab berhenti adalah seramai 10,094 pelajar.