SHAH ALAM - Majlis Setiausaha Pakatan Harapan (PH) hari ini menyelar kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yang memainkan sentimen perkauman apabila mempertikaikan status Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan.
Kenyataan bersama itu dikeluarkan Ketua Setiausaha PH, Datuk Saifuddin Abdullah; Setiausaha Agung Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Setiausaha Agung Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Marzuki Yahya; Setiausaha Agung Parti Amanah Negara (Amanah), Abang Ahmad Kerdee dan Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook.
Menurut kenyataan itu, Najib dalam ceramah beliau di Tanjung Piai, Johor malam tadi didakwa cuba menimbulkan kebencian terhadap kaum Cina dengan mempersoalkan identiti bangsa Guan Eng.
Kata kenyataan itu, pelantikan kaum Cina sebagai Menteri Kewangan bukan sesuatu yang baharu malah turut dilaksanakan bekas Perdana Menteri terdahulu lagi termasuk bapanya sendiri, Tun Abdul Razak.
"Wibawa seorang Menteri Kewangan terletak pada integriti, sifat amanah, cekap, dan bersederhana mengurus kewangan negara.
"Bukannya dengan mempersoalkan keturunan bangsa. Kewibawaan Menteri Kewangan lebih terserlah sekiranya tidak memasukkan duit negara ke dalam akaun peribadi dan berbelanja mewah untuk mempertahankan kuasa.
"Walaupun Datuk Seri Najib kini gundah-gulana kerana berhadapan dengan kes jenayah yang besar tetapi itu bukan alasan untuk beliau memutarbelitkan sejarah dengan bermain dengan api perkauman," katanya.
Mengulas lanjut katanya, sebagai bekas pemimpin nombor satu negara, Najib seharusnya membawa isu ekonomi, kesejahteraan rakyat dan pentadbiran kerajaan jika ingin mengkritik PH.
Katanya, Najib tidak sepatutnya menjatuhkan maruah sendiri dengan cuba menjadi wira perkauman.
Terdahulu, tular sebuah klip video yang memaparkan ucapan Najib yang mengatakan di mana maruah Melayu sekiranya menteri kewangannya adalah DAP yang merujuk kepada Guan Eng.