KUANTAN - Rakyat di negeri ini meminta kerajaan menstabilkan harga petrol, demi memastikan rakyat tidak terus tertekan seperti sebelum ini.
Rata-rata menyuarakan rasa gembira diatas penurunan harga runcit petrol RON95 pada RM1.93 seliter; diesel (RM2.04 seliter) dan petrol RON97 (RM2.23 seliter) mulainya hari ini.
Namun, ada juga antara mereka menyuarakan kebimbangan harga tersebut akan dinaikan semula pada 11 Januari ini.
Khairul Anwar Othman, 54, mengakui gembira dengan pengumuman tersebut, bagaimanapun dia tidak menolak harga petrol boleh kembali naik selepas ini.
"Kali ini turun 10 sen, seminggu kemudian kita tak tahu naik berapa..ini yang merisaukan rakyat sebenarnya harga petrol akan menjadi tak menentu.
"Jadi, saya minta agar kerajaan menstabilkan harga petrol dengan mengembalikan subsidi kepada golongan yang kurang berkemampun seperti B40,” katanya ketika ditemui Sinar Harian di sekitar bandar ini, hari ini.
Dia yang bekerja sebagai peneroka, mengakui terkesan dengan harga minyak yang turun naik setiap minggu.
Jelasnya, dia terpaksa menghantar isterinya ke pusat dialisis tiga kali seminggu dan penggunaaan antara RM30 hingga RM50 (sehari) dari rumahnya di Lepar Hilir ke bandar ini.
"Kalau boleh kerajaan fikirkan cara yang terbaik agar harga petrol ini statik demi memastikan golongan kurang mampu dapat menarik nafas lega.
"Malah, jika petrol tidak naik, harga barangan juga tidak akan naik harga,” katanya.
Semalam, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng mengumumkan penurunan harga petrol dan Kerajaan Persekutuan akan melaksanakan penetapan harga runcit petroleum secara mingguan bagi membolehkan pengguna menikmati sebarang perubahan harga dengan lebih cepat.
Sementara itu, Mohd Akil Basiran,54, berkata, rakyat menyambut baik penurunan harga petrol dan gembira dengan pengumuman itu.
Menurutnya, namun kerajaan perlu mencari kaedah baru agar harga petrol dapat distabilkan dalam keadaan kos sara hidup yang masih ditahap sama.
"Kalau boleh kembalikan subsidi agar tiada kenaikan harga yang kadang kala boleh mencecah 20 sen.
"Bila petrol naik harga barang akan naik.. tapi bila turun tiada pula barangan turun harga.. jadi kerajaan perlu menilai perkara ini (kenaikan secara minggu),” katanya.