Peserta dari Indonesia, Popon diumumkan tersingkir daripada program Maharaja Lawak Mega 2019 (MLM2019) yang diadakan secara langsung dari Royal Theatre Shah Alam, malam tadi.
Popon menduduki empat tangga terendah bersama Kumpulan Jambus, Onxon dan Stone.
Dalam pada itu, kumpulan Smart memenangi 'Oppo Punchline Machine' menerusi undian penonton, manakala Kumpulan Zero pula memenangi 'Flamintoz Kumpulan Paling Syok!' berdasarkan markah tertinggi oleh juri.
Kemenangan itu melayakkan Zero yang dianggotai oleh Atu, Syarif dan Syaiful membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM1,000 dan produk Adabi bernilai RM500.
Dengan penyingkiran itu, 11 peserta yang akan meneruskan perjuangan ke minggu keempat adalah Bocey, Jambus, J-Born, Onxon, Puteh, Rahmet, Rare, Rojak, Smart, Stone dan Zero.
MLM menggabungkan pelawak daripada Malaysia, Indonesia, Singapura dan Brunei, bersama-sama berentap untuk merebut gelaran Juara dan membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM500,000.
Program ini dikendalikan Datuk AC Mizal, manakala penyanyi dangdut dari Indonesia, Inul Daratista bersama Datuk Jamal Abdillah, Lisa Surihani serta pengacara dari Singapura, Najib Ali selaku juri tetap.
MLM2019 disiarkan secara langsung menerusi saluran Astro Warna (132) dan Warna HD (124) sejak 1 November lalu.