Jurugambar kongsi rezeki bersama kucing gelandangan

Iklan
Natrah memberi bekal makanan daripada Kiki The Stray Cat kepada kucing gelandangan.

KELANA JAYA - Seorang wanita di sini bukan sahaja mengutip dan merawat kucing terbiar yang ditemui di sekitar daerah ini malah sanggup membelanjakan ratusan ringgit setiap bulan bagi menjaga haiwan kesayangan Rasulullah SAW.

Bermula daripada melindungi hanya seekor kucing tiga tahun lalu, kini wanita tersebut yang lebih dikenali sebagai Natrah MJ yang juga merupakan seorang jurugambar memiliki lima ekor kucing terbiar.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kucing gelandangan pertama yang diberi nama Kiki sekitar tahun 2015 menjadi inspirasi kepada kerja amal yang dilakukannya bagi berkongsi rezeki bukan sahaja kepada sesama manusia malah terhadap makhluk ALLAH seperti kucing.

"Sewaktu jumpa Kiki sangat hodoh, kotor dan nampak macam nak mati kerana lapar dan kesesatan tapi selepas diberi makan serta sedikit rawatan... dialah yang paling comel sekarang. Kucing cepat buat muka kesian, selalunya hati saya akan cair dan bawa balik untuk dirawat.

Iklan

"Dalam masa sama, saya akan cari keluarga angkat untuknya, tapi selalu lepas seminggu kucing gelandangan makin comel... rasa sayang nak serahkan pada orang lain, itulah dilema saya penjaga kucing gelandangan,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Bagi Natrah yang sudah lebih 25 tahun berkecimpung dalam dunia fotografi, usaha membantu memberi makan kepada kucing gelandangan tidak akan terhenti kerana dirinya percaya bahawa kucing selalu mendoakan orang yang memberikan kebaikan kepada mereka.

Iklan
Perbezaan Kiki ketika dikutip di Kelana Jaya pada tahun 2015 (kiri) berbanding sekarang (kanan).

”Alhamdulillah... kalau dulu buat kerja ini secara solo tetapi sejak diketahui rakan-rakan juga pencinta haiwan kucing, nampaknya ramai dah turut serta.Wajib bagi saya memastikan bekal makanan kucing sentiasa ada di dalam kereta atau beg.

"Jika kebetulan terjumpa mana-mana kucing gelandangan yang lapar jadi tak perlu tercari-cari lagi makanan... mudah sahaja selalunya banyak berkeliaran di parkir kereta dan kaki lima kedai,” katanya

Sementara itu, Natrah turut menganjurkan kempen ‘1car1pack’ makanan yang julung kali diadakan di Malaysia melibatkan rakan-rakan dan juga artis tempatan serta turut mengalu-alukan mana-mana badan korporat untuk bekerjasama dengan pasukannya bagi melaksanakan program tanggungjawab sosial mereka.

”Kempen ini dilaksanakan oleh team Kiki The Stray Cat yang merupakan satu usaha kesedaran dan menggalakkan orang ramai supaya menyimpan sekurang-kurangnya satu pek makanan di dalam kereta yang dijual dengan harga RM10.

"Jika terjumpa mana-mana kucing gelandangan maka dengan mudahnya terus hadiahkan makanan. Jadi kucing tersebut tak akan terus terbiar kelaparan,” katanya.

Natrah (tengah) bersama rakan-rakannya juga merupakan pencinta kucing yang menyokong projek amal dilakukan olehnya.