BENTONG - Seramai 73 orang di daerah ini disahkan dijangkiti influenza A dalam tiga siri jangkitan bermula awal bulan ini.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, jumlah itu melibatkan pelajar di dua sekolah dan pesakit Unit Hemodialisis Hospital Bentong.
Bagaimanapun katanya, berdasarkan pemantauan keadaan masih terkawal, tiada trend jangkitan luar biasa berlaku dan pesakit juga telah mendapatkan rawatan sewajarnya.
"Bagi kluster pertama, kes mula dikesan pada 5 November lalu melibatkan sembilan pesakit di Unit Hemodialisis Hospital Bentong dan semua kes beransur pulih. Pada masa ini hanya seorang dirujuk ke HTAA (Hospital Tengku Ampuan Afzan) Kuantan dan dua orang di Hospital Bentong manakala yang lain-lain mendapat rawatan sebagai pesakit luar.
"Kluster berikutnya melibatkan 11 orang murid prasekolah di Mempaga yang mula dikesan pada 12 November lalu dan sehingga kini tiada peningkatan kes dikesan di mana kesemua kes telah mula beransur pulih.
"Kluster ketiga pula melibatkan 53 pelajar di sebuah sekolah berasrama penuh bermula pada 12 November lalu dan kesemua kes telah beransur pulih," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sha'ari berkata, kesemua kluster jangkitan yang berlaku tidak ada kaitan antara satu sama lain dan telah berjaya dikawal.
Menurutnya, jabatan terbabit sudah mengambil langkah-langkah kawalan dan pencegahan di beberapa lokasi terlibat berikutan kejadian yang menimpa di Bentong.
"Semua fasiliti kesihatan dan hospital di daerah berada dalam siap siaga terutama di Bentong.
"Nasihat individu dan pendidikan kesihatan secara berkumpulan diberikan kepada pesakit sebagai langkah mengelakkan penularan jangkitan melalui udara dan sentuhan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya akan terus bekerjasama dengan agensi dan jabatan lain bagi menangani penularan jangkitan itu.
Sebelum ini tular di laman sosial wabak influenza A (H1N1) mula merebak di daerah ini sehingga menimbulkan keresahan penduduk.