PONTIAN - Calon Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (Berjasa), Datuk Ir Badrulhisham Abdul Aziz menyifatkan perjalanan hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai hari ini sebagai PRK paling aman pernah disertainya.
Tiba di pusat pengundian di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Sawah, Pekan Nanas seawal jam 8.45 pagi, Ir Badrulhisham yang pertama kali bertanding PRK menganggap suasana pilihan raya kali ini luar biasa kerana begitu meriah.
Mengakui keputusan PRK kali ini amat penting kepada semua calon bertanding, pihaknya berharap perjalanan hari pengundian berlangsung dalam suasana tenang dan aman.
"Keseluruhannya saya amat berpuas hati dengan proses perjalanan hari pengundian dikendalikan SPR.
"Sepanjang kempen PRK selama dua minggu pun, tiada perkara tidak diingini berlaku dan kem saya pun tidak menerima perbuatan provokasi mana-mana pihak," katanya sewaktu hadir melawat pusat pengundian di SK Kampung Sawah, Pekan Nanas di sini hari ini.
Ir Badrulhisham menegaskan sebanyak enam pusat pengundian sekitar Parlimen Tanjung Piai yang akan dilawati pihaknya bersama 1,000 jentera pilihan raya parti itu sepanjang hari pengundian.
Sementara itu, seorang pengundi warga emas, Tapsiah Jalal, 77, menyifatkan tanggungjawab mengundi amat penting untuk dipenuhi setiap warganegara Malaysia.
Menurutnya, hak memilih pemimpin wakil rakyat amat penting untuk disempurnakan bagi mengelakkan masa depan rakyat kelam.