Bayar saman separuh harga

Iklan
Muhd Nurhishamuddin

JEMPOL - Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol (IPD) menawarkan pengurangan bayaran saman kesalahan trafik sebanyak 50 peratus terhadap semua jenis saman kecuali enam jenis saman bermula hari ini sehingga esok.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintenden Muhd Nurhishamuddin Hashim berkata, pihaknya membuka kaunter semakan dan pembayaran saman trafik serta diskaun di Dataran Bandar Seri Jempol, Negeri Sembilan bersempena Karnival Cub Prix.

Iklan
Iklan

"Semua jenis saman trafik mempunyai pengurangan bayaran kecuali saman kemalangan, berstatus NC (No Compoundable), waran tahun semasa, saman dalam perbicaraan, saman Ops Selamat tahun semasa, saman berstatus mahkamah dan berkaitan lori.

"Senarai kadar harga diskaun yang ditetapkan antaranya RM300 kepada RM150, RM100 kepada RM50 dan RM250 kepada RM130," katanya ketika dihubungi hari ini.

Iklan

Bagaimanapun beliau berkata, saman kesalahan trafik yang mendapat pengurangan itu tertakluk kepada terma dan syarat.

"Orang ramai diminta agar membuat semakan awal terlebih dahulu di balai polis trafik berhampiran atau melalui medium internet dan sebagainya tentang butiran saman yang boleh mendapat diskaun seperti termaktub.

Iklan

"Namun, sekiranya Sistem COPS Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak berfungsi, semakan dan pengurangan saman tidak dapat dijalankan," katanya.

Katanya, kaunter tersebut dibuka bermula jam 8 pagi sehingga 4 petang selama dua hari bermula hari ini dan berakhir esok.

"Warga Jempol dan semua rakyat Malaysia dialu-alukan datang, menyemak dan membayar saman polis dengan pengurangan bayaran separuh harga," katanya.