Graduan perlu santuni, bantu golongan kurang bernasib baik: Permaisuri Agong

Iklan
Tunku Azizah berkenan berangkat pada Majlis Konvokesyen Berjaya University College (Berjaya UC) 2019 hari ini. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah menasihatkan graduan Berjaya University College (Berjaya UC) supaya menyantuni dan membantu golongan kurang bernasib baik agar mereka dapat memberi kesan positif kepada masyarakat, negara dan dunia.

Tunku Azizah, Canselor Berjaya UC sejak 2012 juga menggesa graduan menyediakan diri untuk menghadapi dunia sebenar.

Iklan
Iklan

"Pelajar yang dikasihi, ciptalah dunia yang kamu bayangkan. Berdepanlah cabaran yang dihadapi dengan kebijaksanaan. Dalam kepelbagaian kita, bantulah mereka yang berbeza kepercayaan, nilai-nilai dan tradisi dari diri sendiri dan santuni mereka dengan kebaikan dan belas kasihan.

"Bersiap sedia untuk dunia sebenar, dan apabila merasa ragu tentang sejauh mana anda boleh pergi, ingatlah sejauh mana anda telah capai,” titah baginda dalam buku cenderamata Konvokesyen Berjaya UC 2019 di sini hari ini.

Iklan

Tunku Azizah memuji Berjaya UC dalam menjalankan penyelidikan mengenai minyak sawit Malaysia dan mendukung dalam pemeliharaan masakan warisan Malaysia.

"Adalah penting bagi kita mendokumentasikannya supaya para pelajar bukan sahaja menjadi duta masakan kita tetapi juga kurator warisan masakan kita," titah baginda, yang terkenal kerana minatnya dalam bidang masakan.

Iklan

Tunku Azizah yang tiba diiringi Tengku Puteri Diraja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah Al-Sultan Abdullah disambut Naib Canselor Berjaya UC Emeritus Professor Walter Wong dan pengurusan tertinggi.

Seramai 269 pelajar menerima sarjana, ijazah dan diploma daripada Fakuti Perniagaan, Fakulti Hospitaliti dan Pelancongan serta Fakulti Seni Kulinari pada majlis konvokesyen itu.

Pada majlis itu Alia Ghazaimie penerima Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Seni Kulinari dipilih sebagai penuntut yang memberi ucapan perpisahan tahun ini.

Alia, 24, antara tiga pelajar dihantar ke Institut Paul Bocuse di Lyon, Perancis di bawah Program Erasmus+ terlibat dalam pengajaran pelbagai operasi restoran. - Bernama