SABAK BERNAM - [VIDEO] Kerajaan Negeri Selangor disaran menetapkan semua program membabitkan kakitangan awam tidak diadakan pada hari Ahad.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan, Kebajikan, Pemberdayaan Wanita dan Keluarga Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, perkara itu sebagai menyahut seruan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Hannah Yeoh.
Menurutnya, setiap keluarga termasuk kakitangan awam juga memerlukan masa yang berkualiti dan mencukupi bersama keluarga.
"Kalau kita tidak memikirkan keluarga maka anak-anak akan terbiar dan beralih kepada media sosial yang mempunyai lebih pengaruh negatif seperti siber buli dan pornografi," katanya kepada media selepas Majlis Perasmian Karnival Wellness, Welfare dan Women Peringkat Negeri Selangor di Stadium Sungai Besar di sini hari ini.
Siti Mariah juga tidak menafikan terdapat hubung kait antara mereka yang ada masa berkualiti bersama keluarga dengan golongan yang hidup terbiar.
"Kalau kita tidak memulakannya maka masalah besar lagi akan timbul.
"Kalau zaman saya dahulu ibu bapa tidak banyak berinteraksi dengan kita tetapi keadaan ketika ini tidak sama seperti sekarang terutama adanya media sosial dan pengaruh lain," katanya.
Ditanya mengenai jumlah terkini warga emas yang berdaftar dengan skim Jom Shopping Skim Mesra Usia Emas, Mariah berkata, ketika ini hanya kira-kira 200,000 mendaftar berbanding 500,000 jumlah keseluruhan warga emas di negeri ini.
"Sejak diperkenalkan September lalu kerajaan membelanjakan sebanyak RM6 juta termasuk Skim Mesra Usia Emas (SMUE) yang digantikan dengan skim ini.
"Sekiranya semua warga emas mendaftar Jom Shopping kita memperuntukkan sebanyak RM50 juta setahun," katanya.