LISKEARD - Mayat seorang bayi perempuan berusia 22 bulan yang mati akibat diracun dan dipukul ibu dan bapa tirinya masih belum dikebumikan sejak Oktober 2017.
Mayat Eve Letaherland kini masih disimpan dalam keadaan beku di rumah mayat, lapor Metro.co.uk yang memetik sumber.
Hasil bedah siasat yang dilakukan mendapati bayi tersebut mengalami keretakan serta patah di bahagian tempurung kepala dan tulang rusuk.
Malah, bayi malang itu telah diberikan racun bertujuan untuk menyembunyikan kecederaan dialaminya.
Ibu mangsa, Abigail Leatherland, 26, dan ayah tirinya, Tom Curd, 31, kini dihukum penjara oleh Mahkamah di Truro, England selepas mereka dikesan bermain Facebook dan permainan video ketika bayi itu sedang nazak di atas katil.
Abigail dihukum penjara tiga tahun atas kesalahan membiarkan anaknya mati manakala Curd pula dihukum penjara minimum 20 tahun atas kesalahan membunuh.
Terdahulu, Abigail dan Curd menghubungi ambulans selepas anaknya tidak memberi tindak balas dan tidak bermaya di kediaman mereka di Liskeard, England.
Paramedik mendapati katil bayi berkenaan kotor disebabkan muntah dan bayi terbabit kemudiannya dibawa ke Hospital Derriford di Plymounth.
Bagaimanapun, bayi berkenaan meninggal dunia ketika menerima rawatan di hospital.
Pada awalnya, kematian Eve tidak diklasifikasikan sebagai bunuh namun apabila racun pada bayi berkenaan dikesan ia menjadi kes cubaan membunuh.
Eve masih tidak dapat dikebumikan disebabkan proses di mahkamah.
Bapa kandung Eve, Dean Bird tidak berpuas hati kerana dirinya tidak didaftarkan atas sijil kelahiran anaknya itu dan kini dia tidak mempunyai hak untuk melakukan pengebumian.