SABAK BERNAM -"Jiwa arwah (Haiqal) suka membantu orang susah. Dia tidak lokek menghabiskan tenaga, masa dan wang ringgit ke arah itu," kata Mohd Hamizar Sulaiman, 49, bapa kepada mangsa yang maut kemalangan di di Kilometer 19.1 Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR), arah Selayang ke Kuala Selangor semalam.
Mohd Hamizar berkata anaknya, Muhammad Haiqal, 22, memaklumkan mengenai aktiviti membantu gelandangan seminggu sebelum kemalangan berlaku.
"Arwah ada beritahu saya dan isteri mengenai rancangannya untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik malah sebelum bertolak (kelmarin), saya memberinya RM500 untuk melaksanakan aktiviti itu," katanya.
Dalam kejadian jam 4.30 petang semalam, Muhammad Haiqal bersama dua lagi rakannya yang menaiki kereta Mitsubishi Lancer baru pulang membantu gelandangan maut selepas terlibat kemalangan.
Dalam kejadian itu, Haiqal tercampak keluar dari kenderaannya yang sebelum itu terbabas dan melanggar pembahagi jalan.
Pemandu kereta, Muhammad Zuhairi Shuhaimi, 24, dan penumpang belakang, Fakrul Fahim Khairu Anuar, 22, masing-masing cedera ringan dan dirawat di Hospital Selayang.
Mohd Hamizar berkata, anak kedua dari lima beradik itu memaklumkannya mengenai aktiviti membantu gelandangan seminggu sebelum kemalangan berlaku.
"Alhamdulilah, apabila saya dan isteri melihat video arwah membantu gelandangan di laman sosial kami bersyukur perkara itu berjaya dilaksanakan dan reda dengan pemergiannya," katanya yang ditemui di rumahnya di Taman Purnama 2, di sini hari ini.
Mohd Hamizar yang juga Pegawai Penyelaras Pusat Khidmat Peduli Rakyat (PKPR) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Air Tawar berkata, beliau menerima berita mengenai kemalangan itu daripadanya isterinya, Noreza Malek, 50, kira-kira jam 4.20 petang.
"Pada mulanya hati saya kuat mengatakan Haiqal masih hidup namun semuanya berakhir apabila tiba di hospital dan mendapati Haiqal sudah pergi buat selamanya," katanya.
Sementara itu, Noreza menyifatkan anak sebagai seorang yang periang selain mesra dengan keluarga dan rakan, peramah serta suka membantu.
"Sebaik sahaja saya sekeluarga tiba di hospital untuk melihat jenazah, ratusan anak muda yang pernah arwah bantu berkumpul untuk menguruskan jenazah dari memandikan sehinggalah menghantar ke rumah.
"Kenderaan jenazah juga diuruskan mereka (anak muda) dan saya sebagai ibu terharu dan bersyukur mereka tetap bersama meskipun arwah sudah tiada," katanya.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Limau kira-kira jam 10.15 pagi.