SHAH ALAM - Kerajaan akan mengalami kesukaran untuk menurunkan harga barang meskipun harga runcit petrol telah diturunkan bermula, semalam.
Penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Shazali Abu Mansor berkata, kaedah penentuan harga minyak secara mingguan juga dijangka menyukarkan lagi keadaan memandangkan harga petrol akan sentiasa tidak stabil.
Menurutnya, jika berlakunya penurunan harga barang, ia mungkin melibatkan beberapa barangan sahaja dan bukan secara keseluruhan.
"Agak sukarlah (harga barang turun). Mungkin kalau ada pun, satu ada dua barang sahaja tapi secara menyeluruh, rasanya tidak.
"Sekarang harga minyak ditetapkan secara mingguan, bagaimana penjual nak turunkan harga bila minggu depan harga petrol meningkat? Kan dah jadi tidak stabil.
"Pada saya, kaedah yang dibuat sekarang (penetapan harga petrol secara mingguan) menyebabkan lagi sukar untuk harga barang turun,” katanya kepada Sinar Harian.
Tambah beliau, ia dikuatkan lagi dengan keadaan di Malaysia sebelum ini memperlihatkan harga barang ikut naik apabila harga petrol meningkat namun apabila harga petrol menurun, tidak pula harga barang ikut sama turun.
Dalam pada itu, seorang lagi penganalisis ekonomi, Prof Datuk Dr Mustafa Mohd Hanefah berpendapat, harga barang boleh diturunkan jika kementerian terlibat mempertingkatkan penguatkuasaan dan kerap turun padang.
Malah, beliau turut mencadangkan agar peranan orang tengah dihapuskan atau paling tidak dikurangkan kerana lazimnya mereka paling banyak mengaut untung.
"Kementerian perlu jalankan penguatkuasaan dengan lebih kerap. Kalau setiap minggu peniaga perlu turunkan harga barang (mengikut perubahan harga petrol), peninglah mereka. Kalau sebulan sekali mungkin boleh.
"Apa pun berlaku, kementerian kena turun padang selalu. Penguatkuasaan perlu ada terutamanya kepada IKS (Industri Kecil dan Sederhana) sebab barang-barang dibeli dari orang tengah. Biasanya, mereka (orang tengah) paling banyak dapat untung.
"Boleh tak kalau kita hapuskan orang tengah atau kurangkan sebab ekonomi Malaysia ini yang banyak dapat untung adalah orang tengah,” ujarnya.
Mereka berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad mengatakan penurunan harga petrol dijangka akan menyumbang kepada penurunan harga barang dan kos sara hidup rakyat.
Malah, beliau secara sinis turut menyindir kerajaan BN dan mendakwa mereka tidak berusaha ke arah itu semasa memerintah negara.