SETAPAK - Kegigihan seorang kanak-kanak sehingga sanggup meredah kesejukan dengan menjual serai di kaki lima sebuah bank di cawangan Setapak, Jalan Genting, di sini meraih simpati ramai netizen.
Perkongsian oleh Reza Labu di laman Facebook itu memaparkan kanak-kanak terbabit seolah-olah sedang kesejukan kerana cuaca hujan, namun tidak patah semangat untuk terus menunggu rezekinya tiba.
Ketabahan ditunjukkan si kecil itu turut menyebabkan pengguna alam maya mencadangkan mana-mana pihak yang mempunyai urusan di bank berkenaan membantu membeli serai daripada kanak-kanak tersebut supaya dia boleh pulang ke rumah untuk berehat.
"Jom netizen, mana yang nak ambil duit dekat bank, jom kita pergi sana beramai-ramai dan dalam pada itu, kita beli serai yang dijual bagi membantu adik ini. Kalau dilihat dari wajahnya, betapa besar dugaan yang diterimanya," tulis Nawi Rahman di Facebook.
Amin Adam pula berkata"Ya ALLAH, sayu hatiku ini melihat adik ini yang bagi saya mungkin dia terpaksa untuk menjual serai di situ bagi membantu ahli keluarga. Jom kawan-kawan kita bantu dia dengan membeli serai yang dijual.”
Perkongsian gambar kanak-kanak itu kini tular di media sosial yang meraih 2,000 tanda suka dan 7,300 warganet berkongsi kisah anak tersebut.
Dalam reaksi berbeza, netizen turut tertanya-tanya mengenai penjaga kanak-kanak tersebut yang seolah-olah dilihat membiarkan kanak-kanak tersebut berniaga sendirian dan tanpa pengawasan yang boleh mengundang bahaya.
"Saya tak boleh tengok macam ini. Mana penjaga dia? Dia seorang ke apa? Tolong siasat, takut nanti kena culik. Ada kes dulu saya bawa lari budak depan Maybank. Budak itu ikut saya dengan mudah. Biar dia ikut saya daripada dia ikut penculik dan bila dapat maklumat, saya serahkan kepada penjaga dia,” kata Nita Mawar di ruangan komen.
Hanis Syera pula memberitahu,"Saya tak berapa nak setuju. Kenapa biar anak seorang menjual macam itu. (Bagaimana) kalau kena culik? Aduh, zaman sekarang ini ramai manusia yang kejam. Jangan biar anak kecil buat kerja lagi."