"JANJI bila harga minyak dah turun, harga barang pun akan turun. Tapi sekarang ini, harga barang macam tu juga. Turun tidak, naik mencanak-canak!"
Demikian rungutan seorang rakan yang 'naik darah' dengan harga barang yang masih tidak mahu turun-turun.
Rakyat semakin tersepit dengan kos sara hidup yang semakin tinggi. Pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) juga tidak mampu menurunkan harga barang keperluan seperti yang diharapkan.
Pelbagai alasan yang diberikan oleh peniaga. Bila harga petrol naik, semua peniaga pakat naik harga. Alasan diberikan ialah kos pengangkutan dan sebagainya. Peniaga menaikkan harga sesuka hati. Tak terkawal.
Kedai makan berskala kecil pun turut menaikkan harga di hampir semua tempat terutama di kawasan bandar. Harga teh ais RM1.60 terus naik jadi RM1.80. Tapi bila harga minyak turun, harga teh ais tetap RM1.80. Tak turun-turun!
Kelmarin kerajaan mengumumkan penurunan harga sebanyak 27 sen bagi RON97 dan RON95 kepada RM2.23 dan RM1.93 seliter bagi tempoh seminggu sehingga 11 Januari hadapan. Setakat hari ini, belum ada peniaga yang menurunkan harga barang. Ternyata peniaga bijak memanipulasi ruang dan peluang.
Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Mohd Yusof Abdul Rahman berkata, jangan terlalu berharap untuk lihat harga barang turun susulan penurunan harga minyak.
Ini kerana katanya, walaupun harga minyak turun tidak semestinya harga barang akan turun sama berikutan harga minyak tidak akan kekal untuk tempoh yang lama.
Beliau juga menyamakan keadaan yang pernah berlaku sebelum ini dan menekankan bahawa ramalan harga barang akan turun selalunya sukar untuk berlaku kerana ketidakstabilan harga minyak.
"Pengalaman dulu-dulu jelas tidak menunjukkan harga minyak turun dan harga barang juga turun, walaupun sepatutnya apabila harga minyak turun aspek-aspek yang berkaitan dengan harga minyak itu sepatutnya kena turun juga.
"Oleh kerana harga minyak ini tidak stabil, sekejap naik sekejap turun. Katalah harga barang turun kerana harga minyak ini berkaitan dengan kos pengangkutan, tetapi bila harga minyak naik, harga nak kena naik pula, maka ia akan menjadi perkara yang menyukarkan," katanya.
Ada juga yang merungut mengatakan kos sara hidup tetap sama walaupun kerajaan sudah berubah. Mereka berharap kerajaan yang diberi mandat mampu menangani kos sara hidup seperti mana manifesto pada PRU14 yang lalu.
Realitinya, keadaan hidup rakyat tetap sama seperti sebelum PRU. Penantian untuk melihat harga barang turun lebih menyeksakan. Rakyat mungkin rindukan zaman RM50 boleh penuh satu troli.
Jangan harap keadaan itu berlaku kecuali bawa troli yang lebih kecil. Troli yang boleh muat dengan barang-barang berharga RM20.
Seorang lagi rakan bagaimanapun menyambut baik penurunan harga minyak kerana sekurang-kurangnya dapat mengurangkan kos minyak keretanya untuk pergi dan balik kerja. Namun dalam masa yang sama beliau juga berharap kerajaan dapat menurunkan harga barang keperluan.
"Apa yang menjadi harapan kita adalah harga barang keperluan seperti minyak masak, beras, gula dan sebagainya diturunkan kerana harga barang ini naik dahulu disebabkan kenaikan harga petrol dan diesel.
"Justeru, kita amat berharap peniaga dapat menurunkan harga barang keperluan bagi mengurangkan beban pengguna terutama golongan berpendapatan rendah dan sederhana,” katanya.
Justeru, katanya, menteri yang berkaitan perlu memantau keadaan ini."Jangan kerana harga barang boleh jatuh kerajaan pada PRU akan datang. Carilah mekanisme terbaik untuk membantu mengurangkan beban hidup rakyat," katanya.
Kalau dahulu harga barang naik boleh salahkan cukai barang dan perkhidmatan (GST) tetapi GST juga membolehkan kerajaan dapat balik hasil cukai. Sekarang nak salahkan siapa?