SHAH ALAM - Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menzahirkan ucapan terima kasih dan bersyukur dengan kemenangan bergaya Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.
"Syukur Alhamdulillah...PRK Tanjung Piai BN menang selesa dengan majoriti yang amat baik. Terima kasih kepada semua pengundi di Tanjung Piai yang memberikan kepercayaan kepada BN.
"Terima kasih juga kepada semua penggerak dan jentera UMNO, BN, rakan-rakan BN dan khususnya Pas yang bertungkus-lumus selama dua minggu di Tanjung Piai.
"Saya amat menghargainya. Bagi pihak UMNO dan BN, saya mengucapkan ribuan terima kasih,” katanya di laman Facebook beliau sebentar tadi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau itu turut menitipkan penghargaan kepada penduduk Tanjung Piai yang melayan mereka dengan mesra sepanjang kempen berlangsung.
"Terima kasih juga kepada penduduk-penduduk di Tanjung Piai yang melayan kami dengan penuh kemesraan. Jika yang terkasar bahasa dan perbuatan, maaf jua saya pinta.
"Sampai ketemu lagi, insya-ALLAH,” katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: BN rampas semula Parlimen Tanjung Piai
Calon BN, Datuk Seri Wee Jeck Seng kembali merampas semula kerusi Parlimen Tanjung Piai dengan keputusan cemerlang pada pilihan raya kecil (PRK) yang berlangsung di sini hari ini.
Kemenangan itu menyaksikan Jeck Seng berjaya mengetepikan lima calon lain selepas dua minggu tempoh berkempen dengan kelebihan majoriti sebanyak 15,086
Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berjaya memperoleh undi 25,466 mengatasi Karmaine Sardini (PH) dengan 10,380 undi, Wendy Subramaniam (Gerakan) 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) 850 undi.
Dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar masing-masing memperoleh 380 undi dan 32 undi.