PENGENDALI Harimau Malaya, Tan Cheng Hoe mengakui berdepan kesukaran untuk memilih pemain bagi menggalas tugas penyerang dalam aksi keempat Kumpulan G Pusingan Kedua Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Indonesia di Stadium Nasional, Bukit Jalil Selasa ini.
Ia selepas penyerang negara, Muhammad Syafiq Ahmad digantung perlawanan selepas menerima kad kuning kedua dalam kemenangan dramatik menentang Thailand, Khamis lalu.
Bagaimanapun, Cheng Hoe tidak mahu panik sebaliknya menegaskan beliau masih mempunyai beberapa hari untuk mencongak pemain sesuai untuk diletakkan di posisi tersebut.
"Seperti yang saya katakan sebelum ini, kita bayar harga mahal untuk kemenangan ke atas Thailand dengan Syafiq dan Matthew Davies digantung perlawanan.
"Kami barisan jurulatih sedang mencari kesebelasan utama dan ia bukan mudah.
"Kita masih ada beberapa pilihan pemain yang boleh mengisi posisi tersebut antaranya Norshahrul Idlan Talaha yang cukup berpengalaman. Namun kita masih ada beberapa hari untuk memilih kesebelasan utama,” katanya kepada media semasa sesi latihan di Stadium Bola Sepak Cheras, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga percaya pemain pertahanannya, Muhammad Syahmi Safari akan dapat pulih selepas mengalami kecederaan pangkal paha ketika menentang Thailand.
"Syahmi merupakan pemain yang bakal mengisi tempat Davies dan saya positif dia sempat pulih sebelum perlawanan itu,” katanya.