Jangan jadikan tahfiz pusat pemulihan akhlak

Iklan
Nadzim Johan

MELAKA - Ibu bapa perlu melihat dan menghormati institusi tahfiz sebagai pusat pembelajaran al-Quran dan ilmu agama bukannya sebagai pusat pemulihan akhlak bagi remaja bermasalah dan gagal dikawal.

Ketua Aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM), Datuk Nadzim Johan berkata, ibu bapa tidak sepatutnya melepaskan tanggungjawab menjaga anak yang bermasalah kepada pihak lain dengan menghantar mereka yang sukar dibentuk itu ke sekolah tahfiz, bagi memperbetulkan akhlak mereka.

Iklan
Iklan

"...dan apabila hantar anak ke institusi tahfiz atau sekolah berasrama penuh, ibu bapa sebagai orang yang paling dekat dengan anak-anak, buatlah pemantauan dan jangan serah tanggungjawab bulat-bulat kepada ustaz atau guru,” katanya.

Turut berkongsi pendapat, Naib Pengerusi Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Kamal Affandi Hashim berkata, ibu bapa perlu membetulkan niat dan tujuan, kenapa mereka menghantar anak ke institusi tahfiz.

Iklan

"Ini kerana institusi tahfiz adalah pusat ilmu bagi melahirkan insan yang cemerlang dalam ilmu dunia dan akhirat,” katanya.

Beliau berkata, ibu bapa yang mengambil jalan mudah melepaskan tanggungjawab mendidik anak kepada orang lain, dengan menghantar anak mereka ke institusi tahfiz boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah bawah Seksyen 33 Akta Kanak-Kanak 2011, kerana mengabaikan anak-anak.

Iklan

Kamal Affandi menasihati ibu bapa memilih institusi tahfiz yang berdaftar dengan pihak berkuasa dengan membuat semakan terlebih dahulu terhadap taraf sekolah terbabit.

Selain itu Kamal Afandi berkata, pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu mengambil tindakan proaktif, termasuk membuat saringan polis sebelum mengambil tenaga pengajar supaya tidak terambil mereka yang bermasalah ataupun mempunyai rekod jenayah lampau.

Katanya, selain mengadakan saringan, pihak pengurusan sekolah tahfiz juga perlu melakukan pemeriksaan berkala atau pemeriksaan mengejut kepada tenaga pengajar selain daripada mengadakan perbualan dengan pelajar bagi mengesan masalah. - Bernama