PH Johor terima kekalahan

Iklan
Muhyiddin (tengah) diiringi Dr Sahruddin (dua dari kanan) dan pemimpin jentera pilihan raya kecil (PRK) PH Parlimen Tanjung Piai sewaktu beredar dari Bilik Gerakan Utama PH.
TANJUNG PIAI - Pakatan Harapan (PH) Johor menerima keputusan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai yang menyaksikan calonnya, Karmaine Sardini tewas kepada calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Wee Jeck Seng.

Menerusi kenyataan bersama pimpinan negeri yang dipengerusikan Tan Sri Muhyiddin Yassin, PH Johor menganggap kekalahan itu sebagai isyarat daripada pengundi yang perlu diambil serius oleh parti itu.

"Mengambil kira kekalahan ini, PH perlu kembali semula kepada paparan lakaran untuk menilai dasar, pendekatan dan prestasi parti dan kerajaan yang telah menyumbang kepada rasa tidak puas hati rakyat.

"PH Negeri Johor ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih kepada seluruh jentera yang telah bekerja keras dan menunjukkan komitmen yang tinggi ketika kempen pilihan raya kecil ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Keputusan PRK Parlimen Tanjung Piai menyaksikan Jeck Seng berjaya mengetepikan persaingan daripada lima calon lain selepas dua minggu tempoh berkempen dengan majoriti sebanyak 15,086 undi.

Ketua MCA Bahagian Tanjung Piai itu berjaya memperoleh 25,466 undi mengatasi Karmaine Sardini (PH) yang memperolehi 10,380 undi, Wendy Subramaniam (Gerakan) 1,707 undi dan Datuk Dr Badrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) 850 undi.

Manakala, dua lagi calon bebas, Dr Ang Chuan Lok dan Faridah Aryani Abdul Ghafar pula masing-masing hanya memperoleh 380 undi dan 32 undi.

-