IPOH - Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya perlu mencari kaedah baru dalam menarik kehadiran pelancong antarabangsa ke negara ini susulan penurunan penarafan keselamatan ruang udara Malaysia seperti diumumkan Pentadbiran Penerbangan Persekutuan (FAA) baru-baru ini.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, kaedah itu haruslah menfokuskan potensi pelancong dari pasaran yang tidak menerima impak langsung dari penurunan berkenaan.
Menurutnya, penurunan taraf ke kategori 2 itu sesuatu yang mengejutkan dan dibimbangi akan mengganggu sasaran negara terhadap kedatangan pelancong antarabangsa seramai 30 juta orang, tahun hadapan.
"Sebagai Timbalan Perdana Menteri, saya melihat ini sebagai cabaran kepada kita khususnya kepada kementerian untuk mencari kaedah-kaedah baru dalam industri pelancongan.
"Kempen kempen promosi harus dipertingkatkan dengan mengambil kira trend terkini seperti digital marketing, penggunaan media sosial dan aplikasi digital yang lebih bersasar dan pakej yang bertumpu kepada pasaran khusus yang mampu membawa masuk pelancong berpendapatan tinggi ke negara ini," katanya ketika berucap merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Deepavali 2019 di Dataran Dewan Bandaraya Ipoh di sini malam tadi.
Beliau berkata, pelancong antarabangsa yang datang ke Malaysia lebih tertarik dengan seni budaya, jati diri ketimuran, warisan berzaman serta kekayaan flora dan fauna dimiliki negara.
Justeru katanya, semua itu perlu dimanfaatkan dan digunakan sebagai aset dalam perancangan membawa masuk lebih ramai pelancong baru ke negara ini.
"Kerajaan Pakatan Harapan akan sentiasa menyokong dan memastikan kempen Tahun Melawat Malaysia 2020 menjadi pemangkin mencapai sasaran yang telah ditetapkan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Dr Wan Azizah berkata, sambutan merentasi kaum yang diraikan seperti Deepavali ini telah membezakan Malaysia dengan negara-negara lain dan menjadi fomula keharmonian selama ini.
"Program Deepavali dan yang seumpanya dapat memberi peluang untuk kita meraikan perayaan kaum-kaum yang berbeza ke arah membina pemahaman dan rasa hormat kalangan masyarakat majmuk tanpa mengira latar belakang, kaum dan agama," katanya.
Hujan lebat tidak menghalang lebih 7,000 pengunjung memeriahkan sambutan berkenaan.
Hadir sama, Menteri Pelancongan, Kesenian dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.