SABAK BERNAM - Inisiatif Casa De Cat yang diilhamkan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin Abdul Rahman menarik perhatian isteri Tengku Mahkota Kelantan, Cik Puan Sofie Louise Johansson.
Laman Facebook Selangor Royal Office memuat naik kunjungan mesra Cik Puan Sofie bertemu Tengku Permaisuri Norashikin di teratak kucing, Casa De Cat Shah Alam.
Cik Puan Sofie yang juga seorang pencinta haiwan mempunyai minat dan pandangan sama terhadap nasib haiwan terbiar sepertimana kempen Selangor Bebas Haiwan Terbiar (SFS).
Sebelum ini, Tengku Permaisuri Norashikin melancarkan kempen SFS bertujuan menangani isu haiwan terbiar di seluruh Selangor.
Casa De Cat merupakan cetusan idea Tengku Permaisuri Norashikin untuk dijadikan sebuah kediaman menempatkan dan mengumpulkan kucing-kucing terbiar yang diselamatkan baginda sendiri.
Setakat ini, sebanyak lima anak kucing ditempatkan di Casa De Cat manakala 12 kucing terbiar yang diselamatkan baginda diletakkan di beberapa lokasi berbeza.
Baginda yang juga Penaung Diraja program SFS kendalian Persatuan Pencinta Haiwan Selangor (SPCA) berhasrat mewujudkan sebuah lokasi yang mampu menjadi transit kepada kucing terbiar sebelum diambil sebagai haiwan angkat.
Melalui kempen SFS, SPCA menggalakkan orang awam menghubungi persatuan itu untuk menangani isu haiwan terbiar dalam komuniti masing-masing dengan program tangkap, kembiri dan lepas yang bersubsidi.Sehingga kini, kempen berkenaan berjaya mengumpul dana sebanyak RM170,000 termasuk sumbangan daripada Yayasan Raja Muda berjumlah RM20,000.