Ibu tunggal OKU kental buat empat kerja sara keluarga

Iklan
Malikah Cholil, 38, ibu tunggal cacat penglihatan membanting tulang empat keratnya dengan melakukan empat jenis kerja demi kelangsungan hidup. - Foto Bernama

BUKIT MERTAJAM - Berniaga, mengurut, mendobi dan membungkus ‘bola tikam’ untuk dijadikan sumber pendapatan mungkin kedengaran seumpama pekerjaan biasa buat seorang ibu tunggal.

Bagaimanapun, melakukan semua pekerjaan itu dalam serba ‘kegelapan’ dek kerana ketiadaan penglihatan menjadikan Malikah Cholil, 38, seorang wanita yang wajar dikagumi.

Iklan
Iklan

Walaupun hidup dalam kesempitan, Malikah gembira kerana dapat mencari rezeki menggunakan kudrat sendiri untuk membesarkan dua anak perempuannya dengan hanya pendapatan sekitar RM400 sebulan.

"Rezeki tuhan sudah atur, kita kena cari, usaha dan doa. Sedangkan cicak pun ada rezeki. Saya baru (diuji) tidak nampak, bukannya sakit. Kaki dan tangan masih ada, kalau lumpuh lainlah cerita," katanya ketika ditemui di rumahnya, petang kelmarin.

Iklan

Perkhidmatan urut tradisional antara penyumbang utama keluarga Malikah dan walaupun serba kekurangan, Malikah tidak pernah menetapkan harga urutannya, sebaliknya menerima bayaran mengikut kemampuan pelanggan.

"Upah ikut orang nak bagi (berapa). Saya tahu orang tolong saya, saya fikir macam mana saya nak tolong orang (balik). Kalau orang sakit, ALLAH yang sembuhkan (melalui) urutan saya, itu saya sudah seronok," katanya.

Iklan
Malikah Cholil, 38, ibu tunggal cacat penglihatan membanting tulang empat keratnya dengan melakukan empat jenis kerja demi kelangsungan hidup. Dia terpaksa melakukan empat jenis kerja iaitu mengurut, mendobi, mengambil upah membungkus 'bola tikam' dari sebuah kilang tempatan dan menjual produk-produk dari Indonesia di rumahnya yang terletak di Flat Taman Kota Permai. Beliau gembira kerana dapat menjana pendapatan menggunakan kudrat sendiri walau hanya memperoleh sekitar RM400 setiap bulan. - Foto Bernama

Malikah yang kematian suami pada 2017 ekoran sakit jantung bekerja keras menyara dua anaknya, Siti Nor Afida, 16, dan Siti Zuraida, 14, yang kedua-duanya berbakat besar dalam bidang sukan terutama bola jaring dan olahraga.

Namun Malikah berkata, anak sulungnya, Nor Afida kini bertekad memperlahankan penglibatan dalam dunia sukan dan memadamkan cita-citanya untuk menjadi atlet profesional demi membantu meringankan beban ibunya.

"Saya nak tolong mak dan adik. Saya nak bawa mak pergi umrah kerana saya tidak pernah dengar mak cakap mahukan apa-apa kecuali itu (umrah)," kata Nor Afida yang pada mulanya enggan ditemu bual.

Sementara itu, Pengerusi One Hope Charity, Chua Sui Hau berkata, pihaknya telah menyalurkan bantuan RM1,000 setiap bulan kepada Malikah melalui dana yang disumbang oleh orang awam serta memberi bantuan makanan kering seperti biskut, beras dan seumpamanya.

Walaupun Malikah Cholil cacat penglihatan tetapi dia dapat menyebut harga pakaian yang dijual menerusi sentuhannya. - Foto Bernama

Bagaimanapun katanya, tabung dana itu kini semakin berkurang dan perlu dipenuhkan semula untuk terus membantu keluarga Malikah dan orang ramai yang ingin menyalurkan bantuan boleh menyumbang ke akaun Public Bank Berhad One Hope Charity and Welfare Berhad bernombor 3193433435.

"Kami suka dia (Malikah) kerana dia bukan seorang yang duduk sahaja dan mengharapkan bantuan. Walaupun dia berasa segan untuk menerima bantuan, kita akan tetap berikan untuk bantu menampung perbelanjaan bulanan atau simpanan pengajian untuk anaknya pada masa hadapan," kata Sui Hau. - Bernama