Ragbi Piala Agong: Keyakinan ATM pada tahap tinggi berdepan Johor

Iklan
Pio Tuwai antara tonggak import yang memperkuatkan cabaran ATM pada saingan ragbi Piala Agong kali ini. - Foto Tigers Super Sports

ANGKATAN Tentera Malaysia (ATM) tidak akan memandang mudah cabaran Johor walaupun skuad beruniform itu tampil berstatus pasukan pilihan menjelang saingan suku akhir Ragbi Piala Agong di Padang A Universiti Putra Malaysia (UPM) petang ini.

Pengurus skuad ragbi Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Kapten Mohd Redzuan Ghazali TUDM percaya lawan mereka dari selatan tanah air itu sudah pasti melakukan persiapan rapi bagi saingan pentas lapan terbaik kali ini.

Iklan
Iklan

"Saingan peringkat kumpulan cukup berbeza dengan saingan peringkat suku akhir, pastinya Johor akan tampil dengan corak permainan yang lebih bertenaga jadi saya tidak mahu pemain ATM memandang mudah cabaran Johor sebaliknya mahu pemain-pemain ATM lebih berdisiplin dan mengikuti setiap arahan daripada jurulatih.

"Alhamdulillah tahap keyakinan para pemain ATM baik lokal mahupun import sentiasa berada pada tahap tinggi seiring hasrat dan sokongan pelbagai pihak terutamanya Yang Berbahagia Tan Sri Panglima Tentera Udara menjelang aksi menentang Johor," kata pengurus Persatuan Ragbi Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) Blackhawk itu.

Iklan

Untuk rekod, TUDM Blackhawk telah diberi kepercayaan untuk membawa cabaran ATM pada saingan Piala Agong kali ini.

Tambah Mohd Redzuan, pasukannya menggunakan tempoh rehat sebelum saingan suku akhir dengan memantapkan taktikal dan corak permainan.

Iklan

"Kami amat bersyukur dengan pencapaian semasa yang membolehkan kami melayakkan diri ke peringkat seterusnya.

"Tempoh rehat yang diberikan telah digunakan sebaik mungkin dengan beberapa program rehabilitasi dan latihan bagi memantapkan persiapan tim ATM bagi menghadapi perlawanan suku akhir menentang Johor," katanya.

Pada masa sama Mohd Redzuan berharap pemain ATM dapat mempamerkan semangat juang tinggi bagi mengembalikan era kegemilangan pasukan itu seperti pada ketika era 80-an dan 90-an.

"Selain usaha gigih, kami tetap yakin dan percaya bahawa tiada daya dan kekuatan melainkan dengan izin-Nya," katanya yang akan menurunkan barisan terbaik petang ini.

HARI INI

Johor lawan ATM

(Padang A UPM, 2 petang)

Terengganu lawan Kuala Lumpur

(Padang A UPM, 4 petang)