KUALA KUBU – Perkongsian Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) mengenai kelahiran seekor anak tapir jantan di Pusat Konservasi Hidupan Liar (PKHL) Sungai Dusun di sini, semalam ternyata satu berita gembira kepada masyarakat.
Berita yang dikongsi Perhilitan di Twitter mereka turut mengemukakan cadangan kepada netizen untuk memberi nama sesuai kepada haiwan tersebut.
"Berita gembira untuk anda! Seekor anak tapir jantan selamat dilahirkan di PKHL Sungai Dusun dengan berat 8 kilogram. Anak tapir ini sihat, ceria dan aktif.
"Tahniah kepada pasangan Bera dan Gadek. Jom cadangkan apa agaknya nama yang sesuai untuk anak tapir ni ya.” tulis pentadbir di Twitter.
Perkongsian itu kini tular di media sosial yang meraih 6,400 ulang kicau, 9,400 tanda suka selain pelbagai nama termasuk nama klasik dicadangkan kepada anak tapir itu.
"Kalau mak bapak depa nama Bera dan Gadek, maka nama paling sesuai untuk dia ialah Beradek,” tulis @_rahimihalim.
@faizmsyed berkata,"Saya cadangkan nama Dollah untuk jantan. Betina pula nama Jeriah. Nama klasik penduduk Tanah Melayu."