KUALA LUMPUR - Seorang lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas dan melanggar tiang lampu di Lebuhraya Sultan Iskandar menghala Jalan Tun Razak awal pagi tadi.
Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya berkata, dalam kejadian itu mangsa dikenali Pang Jian Fung, 24, beralamat di Jinjang Selatan.
Menurutnya, mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona tidak membawa penumpang.
"Kemalangan tersebut menyebabkan mangsa disahkan maut di lokasi kejadian dengan kesan kecederaan pada bahagian kepala.
"Tiada bau alkohol pada badan mangsa dan mayatnya telah dibawa ke Hospital Kuala Lumpur untuk bedah siasat," katanya.
Katanya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Sementara itu, Komander Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP Sentul), Fadil Hesam berkata, seramai 10 anggota ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan kecemasan jam 3.25 pagi.
"Jentera tiba jam 3.32 lagi bagi operasi mengeluarkan mangsa yang tersepit di bahagian pemandu.
"Mangsa berjaya dikeluarkan dan didapati mangsa telah meninggal dunia oleh pasukan perubatan," katanya.