Yayasan Pahang cipta sejarah

Iklan
Mahmud (tengah) menerima anugerah yang disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif AIA Bhd, Ben Ng (kiri) pada Sidang Kemuncak Kesihatan Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia 2019 di Bangsar kelmarin.

KUALA LUMPUR - Menekankan gaya hidup sihat untuk memberikan perkhidmatan terbaik melayakkan Yayasan Pahang (YP) merangkul empat anugerah pada Sidang Kemuncak Kesihatan Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia 2019 di Bangsar dekat sini kelmarin.

YP yang merupakan satu-satunya agensi kerajaan di Malaysia menyertai sidang kemuncak itu memenangi anugerah bagi kategori organisasi kecil iaitu Majikan Paling Sihat, Tempat Kerja Paling Sihat dan Tempat Kerja Paling Baik, manakala kakitangannya dinobatkan sebagai Pekerja Paling Sihat.

Iklan
Iklan

Tinjauan Tempat Kerja Paling Sihat oleh AIA Vitality merangkumi Australia, Hong Kong, Malaysia, Sri Lanka dan Thailand menerima penyertaan sebanyak 426 organisasi yang mewakili seramai 26,456 pekerja.

Menerusi percubaan keduanya itu, YP dinilai AIA Vitality dan RAND Europe bersama 133 organisasi daripada pelbagai latar belakang di Malaysia termasuk syarikat multinasional dan yang tersenarai di Bursa Saham Kuala Lumpur (Bursa Malaysia).

Iklan

YP kini setanding dengan lima organisasi teratas yang berjaya di Malaysia berdasarkan senarai peserta layak bertanding bagi Tempat Kerja Paling Sihat.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Mahmud Mohd Nawawi berkata, YP menyertai pertandingan tersebut bagi memupuk gaya hidup sihat, memotivasi dan menghasilkan pekerja berprestasi tinggi.

Iklan

Menurutnya, untuk berkhidmat kepada masyarakat dan memberikan yang terbaik, YP harus memastikan kakitangannya dijaga dengan baik kerana mereka adalah aset terbesarnya.

"Beberapa kategori dinilai termasuk penglibatan kerja, kesihatan gaya hidup, gangguan jangka pendek dan kesihatan klinikal serta mental.

"Walaupun dikatakan bahawa kesihatan yang baik sentiasa bermula dari rumah, namun kami memastikan tempat kerja juga menggalakkan kesihatan yang baik.

Mahmud berkata, anugerah yang diterima itu akan membantu memotivasikan pekerja dan menunjukkan usaha serta sumbangan mereka diperakui.

Menurutnya, YP menggalakkan kakitangannya bertanggungjawab terhadap kesihatan sendiri menerusi pelbagai program termasuk FIT YP yang merangkumi seminar, dialog dan sesi latihan.

"Tuntutan perubatan pekerja di klinik panel juga menurun sebanyak 30 peratus, manakala tuntutan insurans berkurangan sebanyak 40 peratus.

"Kira-kira 30 peratus kakitangan kami mengambil bahagian secara sukarela dalam aktiviti fizikal, manakala mereka yang dikategorikan berlebihan berat badan telah mula mengikuti rancangan pemakanan sihat dan mengamalkan diet sihat,” katanya.

Beliau berkata, sebagai galakan kepada kakitangan, YP menanggung segala kos untuk aktiviti fizikal dan kesihatan.

Sidang Kemuncak Kesihatan Tempat Kerja Paling Sihat Malaysia 2019 amat istimewa kepada YP kerana merupakan pengiktirafan ke-30 yang diterima yayasan berkenaan.